

BETONG, 14 FEB β Ketua kaum dan ketua masyarakat diseru memainkan peranan lebih aktif dalam menyampaikan maklumat berkaitan bantuan serta program kerajaan kepada penduduk luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, mahu memastikan tiada golongan yang dipinggirkan daripada menerima bantuan yang disediakan kerajaan.
Berucap merasmikan Program Outreach KPWK bersama rakan strategik: βKamek Prihatin, Kitak Pentingβ Zon Betong 2026 di Dewan Masyarakat Spaoh hari ini, beliau berkata bantuan yang disediakan kerajaan merangkumi semua peringkat umur.
Menurutnya, perkara itu selaras dengan dasar kepimpinan kerajaan negeri yang menekankan prinsip keterangkuman.
βBalik ke kampung, maklumkan kepada ahli-ahli anda bahawa program GPS adalah menyeluruh. Dasar YAB kita ialah tiada sesiapa pun harus ketinggalan daripada arus pembangunan di negeri Sarawak ini.β katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan masyarakat agar merebut peluang meningkatkan kemahiran melalui pelbagai program latihan yang ditawarkan.
Beliau mahu kemahiran yang diperoleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjana pendapatan sekali gus meningkatkan taraf hidup masing-masing.
Program Outreach KPWK Zon Betong 2026 merupakan program turun padang yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan percuma kepada penduduk setempat.
Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Bantuan Guaman Sarawak serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sri Aman.
DEBBIE AMANDA
FOTO: UKAS
