SMART ENFORCEMENT KDN:AKPS GAGALKAN KEMASUKAN SISA HARAM & DAGANGAN TANPA PERMIT

14 Feb 2026

Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh pendekatan Smart Enforcement melalui tindakan tegas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang dalam memastikan keselamatan negara, kelestarian alam sekitar serta kesihatan awam sentiasa terpelihara.

Melalui operasi bersepadu, AKPS berjaya merampas 10 kontena mengandungi sisa elektronik (e-waste) dan sisa plastik dengan anggaran berat keseluruhan 216,726 kilogram yang dibawa masuk dari Amerika Syarikat di Pelabuhan Klang. Pemeriksaan fizikal dilaksanakan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SIRIM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor.

Dalam pemeriksaan berasingan, AKPS turut menggagalkan cubaan membawa masuk produk hasilan haiwan yang tidak mematuhi pengisytiharan apabila konsainan yang diisytihar sebagai “frozen dumpling” didapati mengandungi aiskrim dari China tanpa permit import MAQIS yang sah. Rampasan dianggarkan bernilai RM59,276.82 dengan berat 17,580 kilogram.

Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan KDN dalam memperkukuh kawalan sempadan negara melalui penguatkuasaan bersepadu, risikan strategik dan tindakan berasaskan undang-undang demi melindungi rakyat serta kedaulatan negara.

📅 Tarikh: 14 Februari 2026
📌 Sumber: Kenyataan Media AKPS Pelabuhan Klang

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *