






Oleh: Sholina Osman
18 FEB. 2026
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua, khususnya kenalan di mana sahaja mereka berada serta rakyat Negeri Perlis yang meraikannya.
Baginda menzahirkan harapan agar sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini membawa sinar kebahagiaan, kesejahteraan dan kemakmuran kepada semua.
Perayaan ini bukan sahaja melambangkan permulaan baharu dalam kalendar masyarakat Cina, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh semangat kekeluargaan, perpaduan, serta keharmonian dalam kalangan umat berbilang kaum di negeri ini.
TRADISI YANG DIRAIKAN
Baginda turut bertitah bahawa kepelbagaian budaya dan tradisi yang diraikan secara bersama merupakan kekuatan utama yang menyatukan umay Perlis dalam suasana hormat-menghormati dan saling memahami.
Semangat muhibah serta toleransi yang sekian lama terjalin hendaklah terus dipelihara demi menjamin kestabilan dan kemajuan negeri.
Semoga Tahun Baharu Cina kali ini disambut dalam suasana penuh keceriaan bersama keluarga dan insan tersayang, di samping terus memperkukuh ikatan persahabatan serta perpaduan antara seluruh umat Perlis.
Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan titah sedemikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan Tahun Baharu Cina yang dihoskan oleh Tan Sri Lee Kim Yew dan Puan Sri Tan Bee Hong di Kuala Lumpur.
Duli-Duli Tuanku berkenan berangkat ke majlis tersebut diiringi oleh cucunda Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Selain santapan, turut diadakan ialah persembahan simbolik mercun kuning, sebagai tanda kemakmuran dan kesejahteraan, serta Upacara Loh Sang, sebagai lambang perpaduan dan keberkatan. – JM
