PMX rai sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan KLSCAH

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
18 FEB. 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar
Ibrahim meraikan sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) bersama rakan pimpinan serta masyarakat Cina sekitar ibu negara.

“Dewan ini dekat di hati saya, tatkala ia menjadi saksi perjalanan panjang sejak di universiti dan ABIM, serta saat jatuh dan bangkit semula ketika memperjuangkan keadilan, reformasi dan hak setiap rakyat bersama KLSCAH dan teman-teman seperjuangan,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Dalam ucapan, beliau menekakan bahawa kemajuan yang kita capai hari ini lahir daripada semangat berpasukan dan kesediaan untuk bekerja keras merentasi kaum dan latar belakang.

Sejak puluhan tahun, pemimpin terdahulu termasuk Tun Abdul Razak telah mengingatkan bahawa perpecahan dan sentimen perkauman adalah cabaran besar negara.

MASIH PERLU DIULANG

Hakikat bahawa perkara ini masih perlu diulang hari ini menjadi tamparan bahawa kita telah membiarkan masalah lama ini terus berlarutan.

Malaysia tidak akan bergerak ke hadapan jika kita terus berbalah dan membiarkan hasutan perpecahan dan perbezaan meretakkan kepercayaan sesama kita.

Kekuatan negara terletak pada muafakat dan kesediaan menyelesaikan perbezaan secara matang dan beradab.

“Saya menghargai kepercayaan dan sokongan yang telah terjalin sekian lama ini. Ia menjadi peringatan buat saya untuk terus bekerja dengan jujur, tekun dan berpegang pada prinsip keadilan dalam memikul amanah memimpin negara,” tambah Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *