






Oleh: Sholina Osman
22 FEB. 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan supaya masjid dijadikan sebagai Pusat Harmoni dan Dakwah Inklusif.
Pegawai masjid adalah barisan hadapan atau “frontliners”. Mereka wajar terlatih, mesra, dan berbudi bahasa kerana impresi pertama menentukan keterbukaan hati tetamu bukan Islam bila mengunjungi masjid.
Imam dan jawatankuasa masjid perlu diberi pendedahan sewajarnya untuk mendalami ilmu dakwah melalui kursus pengurusan tetamu bagi memastikan penerangan tentang Islam dapat disampaikan dengan berkesan.
DISARANKAN LEBIH TERBUKA
Masjid di Perlis disarankan lebih terbuka menerima pelancong baik tempatan mahupun asing serta mempermudah kerjasama dengan NGO dakwah yang mendapat kebenaran daripada pihak berautoriti untuk aktiviti lawatan masjid atau ‘Mosque Tour’.
Pada masa yang sama tembok prejudis hendaklah ditiadakan dan keindahan Islam mesti disebarkan secara meluas kepada komuniti bukan Islam di negeri ini.
Usaha ini merupakan sebahagian daripada hala tuju Majlis Agama Islam Dan Adat Istiafat Melayu Perlis (MAIPs) 2026–2030 yang turut bermatlamat untuk menjadikan masjid sebagai pusat penyatuan ummah dan keharmonian masyarakat.
PROGRAM AGIHAN ZAKAT
Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Agihan Zakat MAIPs yang berlangsungi di Masjid Al-Istiqamah, Teluk Jambu, dekat Kangar baru-baru ini.
Turut berangkat mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
MENYALURKAN BANTUAN KEWANGAN
Pelaksanaan program ini bukan sahaja bertujuan menyalurkan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan, malah berperanan sebagai wadah mendekatkan institusi zakat dengan masyarakat setempat, di samping memastikan amanah para pembayar zakat diurus serta diagihkan secara telus, efisien dan menyeluruh.
Sebanyak RM105,000 telah diagihkan kepada seramai 150 orang penerima, masing-masing terdiri daripada 75 anak kariah Teluk Jambu dan 75 anak kariah Wang Ulu.
Turut diadakan ialah simbolik penyerahan Sumbangan Kecemasan Unit Kerja Sosial Hospital Tuanku Fauziah (HTF) daripada MAIPs berjumlah RM45,000 dan juga Sumbangan Pelaksanaan Kelas Tambahan Rumah Kanak-Kanak Arau sebanyak RM12,000 yang disempurnakan oleh Baginda berdua. – JM
