






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
25 FEB. 2026
Jagalah kesihatan diri masing-masing sebaik mungkin dan kekal beraktiviti di dalam bulan Ramadan ini.
Berpuasa sepatutnya menyihatkan bukan memudaratkan. Sentiasalah menjaga kesihatan dengan memilih makanan yang seimbang dan berkhasiat semasa sahur dan iftar serta teruskanlah menjalani aktiviti fizikal yang tidak memerlukan penggunaan tenaga yang terlalu tinggi.
Pada masa yang sama, sempena bulan yang mulia ini juga, sentiasalah bersederhana dan tingkatkan amal kebajikan. Utamakan ketaatan dan keimanan kepada Allah SWT.
Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dititahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan agihan zakat MAIPs berjumlah RM2,000 kepada Centre Islamique De Lausanne yang beroperasi di Passage de Montriond 14, Lausanne, Switzerland.
PIHAK PUSAT ISLAM
Imam Cheikh Mouwafac El Rifai menerima sumbangan tersebut bagi pihak Pusat Islam yang juga masjid berkenaan daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs.
Berangkat sama ialah anakanda Baginda, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail.
Sumbangan kecil MAIPs ini diharap akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi sebarang aktiviti kebajikan ahli kariah, khususnya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan, sekali gus menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan serta semangat kebersamaan dalam kalangan umat Islam di kawasan tersebut. – JM
