Malaysia catat rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah RM426.7 bilion – PMX

Wartawan JM
7 MAC 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia mencatat rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara iaitu mencecah RM426.7 bilion pada tahun 2025.

Beliau berkata ia meningkat 11 peratus berbanding tahun 2024.

“Sebanyak 8,390 projek telah diluluskan, dengan potensi mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Anwar berkata pelaburan domestik kekal kukuh pada RM219.6 bilion, merangkumi 51.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara.

PELABURAN ASING MELONJAK

Pada masa sama, kata beliau pelaburan asing melonjak 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan, dasar yang jelas serta hala tuju ekonomi Malaysia.

“Pencapaian ini adalah hasil ikhtiar bersepadu seluruh jentera Kerajaan MADANI, dengan MITI dan MIDA terus mempergiat usaha memastikan setiap pelaburan bukan sekadar diluluskan, tetapi direalisasikan dan diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta kemakmuran rakyat,” kata Perdana Menteri.

Beliau menjelaskan bahawa ini bukan sekadar angka, sebaliknya bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia dan agenda pembaharuan yang sedang kita laksanakan.

“Kita akan terus bekerja keras memastikan seluruh rakyat merasai nikmatnya,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *