Malaysia nyatakan solidariti terhadap Turkiye susulan ketegangan di Timur Tengah – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 MAC 2026

Malaysia menyatakan solidariti terhadap Turkiye susulan kejadian peluru berpandu balistik yang menuju ke arah ruang udara negara itu, menggambarkan betapa rapuhnya keselamatan rantau itu ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika berhubung dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan yang semakin meruncing di Asia Barat susulan siri serangan yang menggugat kestabilan rantau tersebut.

“Menyentuh insiden pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran termasuk Almarhum Ali Khamenei, saya tegaskan bahawa peristiwa ini berisiko menjerumuskan Asia Barat ke dalam ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan,” kata beliau dalam hantaran di FB.

TAHAP KAWALAN DIRI

“Kami senada bahawa semua pihak perlu menunjukkan tahap kawalan diri dan kebijaksanaan tertinggi bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing,” tambah Perdana Menteri.

Sehubungan itu kata beliau Malaysia menyeru semua pihak menurunkan ketegangan dan menghentikan serangan yang berisiko mencetuskan ketidakstabilan lebih luas melangkaui Asia Barat. Pendekatan berteraskan dialog dan diplomasi mesti menjadi keutamaan.

Menyentuh perkembangan isu Palestin, beliau menyatakan penghargaan terhadap Turkiye dan beberapa negara lain yang mengutuk keputusan Israel memperluas penempatan haram di Tebing Barat.

Perdana Menteri berkata pendirian Malaysia jelas bahawa tindakan rejim Zionis itu adalah pencabulan undang-undang antarabangsa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *