Saranan Nurul Izzah perlu dinilai dengan jujur demi menambah baik peranan SPRM

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

Timbalan Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar sekali lagi bersuara mengenai SPRM dan ini menunjukkan keprihatinannya untuk melihat agensi pencegah rasuah itu benar-benar berwibawa di mata rakyat.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu mengukuhkan pengawasan Parlimen terhadap SPRM sebagai salah satu langkah konstruktif dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

Pengawasan Parlimen terhadap SPRM katanya, tidak harus dilihat sebagai satu serangan terhadap usaha membanteras rasuah, sebaliknya ia adalah penyempurnaan kepada usaha tersebut.

LAPORAN BERKALA KEPADA PARLIMEN

Beliau berkata, laporan berkala kepada Parlimen membolehkan wakil rakyat menilai kerja suruhanjaya itu.

Menurutnya lagi, institusi seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) boleh meneliti dasar, prosedur dan keputusan penguatkuasaan yang dilakukan SPRM.

“Parlimen harus pantau SPRM. Pengawasan sedemikian tidak akan mengganggu siasatan, sebaliknya membantu memastikan undang-undang yang mentadbir SPRM berkembang seiring dengan tahap ketelusan dan keyakinan awam yang lebih tinggi.

“Saya telah berulang kali membangkitkan risiko sistemik yang timbul daripada kebimbangan sebegini dan akan terus menyokong usaha untuk menanganinya.

“Kebertanggungjawaban harus bersifat menyeluruh, atau ia langsung tidak bermakna.

Malaysia berhak memiliki institusi yang boleh dipercayai, dan terbukti juga layak menerima kepercayaan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Nurul Izzah mengingatkan, kekuatan sesebuah demokrasi tidak hanya diukur melalui undang-undang yang digubal, tetapi juga melalui integriti pelaksanaannya dan kewibawaan institusi yang diamanahkan untuk
menjunjungnya.

“Dalam semangat itulah kebimbangan ini dibangkitkan bukan untuk
merendahkan apa yang telah dicapai, tetapi untuk memelihara apa yang mesti terus dipertahankan,” tambahnya.

Katanya, institusi kerajaan harus sentiasa membuktikan bahawa mereka berkhidmat demi kepentingan
seluruh rakyat dan negara, bukan untuk segelintir individu atau kelompok tertentu.

“Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan kekal sebagai tonggak utama demi memastikan kejayaan pelaksanaan dasar dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan.

“Melakukan perkara yang betul sahaja tidak memadai; namun, kerajaan juga mesti dilihat dan diyakini oleh rakyat sebagai melakukan perkara yang betul.

“Kita semua maklum akan kuasa yang diperuntukkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) di bawah Aktanya.

“Kuasa yang sepatutnya menjadi
senjata memerangi rasuah, dalam sesetengah keadaan mewujudkan suasana di mana individu
seolah-olah diperlakukan sebagai bersalah, hanya kerana terlibat dalam persaingan politik atau
berani bersuara.

“Apabila penguatkuasaan menjadi berlebihan, tidak telus, atau bersifat intimidasi, ia tidak lagi
berfungsi untuk menegakkan keadilan.

“Sebaliknya, mula melemahkan prinsip-prinsip demokrasi itu sendiri,” jelas beliau.

Sesungguhnya saranan Nurul Izzah ini adalah dalam usaha menambah baik lagi peranan SPRM. Saranan ini perlu dinilai dengan jujur serta berlapang dada.

Selama ini banyak pihak hanya mengkritik dan menghentam SPRM apabila timbul sesuatu itu, misalnya berkaitan cara pengendalian sesetengah siasatan yang keras,
pendedahan dan penyebaran alamat kediaman peribadi sehingga menjadi tontonan dunia dan pelbagai lagi, tetapi jarang disertakan dengan solusi.

Namun, Nurul Izzah lebih menekankan kepada aspek penyelesaian dan tidak semata-mata kritikan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *