



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 MAC 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan pemergian Allahyarham Prof Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai satu kehilangan besar buat dunia kerana telah menabur bakti besar dalam memartabatkan tradisi ilmu, adab dan tamadun Islam.
Beliau berkata sesungguhnya jasa dan sumbangan Allahyarham akan terus dikenang dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi ilmuwan serta umat Islam dalam meneruskan tradisi keilmuan yang berteraskan hikmah dan nilai.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Anwar turut menunaikan solat jenazah ke atas tokoh ilmuwan dan pemikir agung peradaban Islam ini di Masjid Al-Taqwa TTDI.
Beliau juga sempat menyampaikan salam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham serta menzahirkan penghargaan terhadap khazanah pemikiran yang amat bernilai yang ditinggalkan, khususnya dalam memperkasa kefahaman mengenai konsep ilmu, adab serta peranan Islam dalam membentuk peradaban yang luhur. – JM
