



9 Mac 2026
Teluk Intan (Perak)
– Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui Program MEKAR Komuniti telah turun padang bagi penyerahan dokumen pengenalan diri kepada 7 orang adik-beradik di Sungai Jejawi, Kampung Sungai Timah sebagai manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap warganegara yang layak tidak tercicir.
Kesemua sijil kelahiran diserahkan kepada 7 orang adik-beradik yang berumur 13 tahun hingga 22 tahun di rumah kediaman mereka di Teluk Intan.
Dokumen kelahiran ini pastinya akan membolehkan penerima mengakses pelbagai perkhidmatan penting seperti pendidikan, peluang pekerjaan serta kemudahan dan lain-lain bantuan kerajaan. Penyerahan sijil kelahiran telah disempurnakan oleh Pengarah JPN Negeri Perak, Robatuladayiah Mohd Isa di kediaman keluarga 7 adik-beradik dengan pendekatan inklusif dan ihsan yang digariskan Kerajaan MADANI.
JPN telah melaksanakan siasatan berhubung ketiadaan dokumen pengenalan diri tujuh adik-beradik berkenaan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Kecil Kampung Gajah dan mendapati antara faktor utama kelewatan pendaftaran kelahiran adalah kekangan berkaitan pengesahan perkahwinan ibu bapa, memandangkan dokumen perkahwinan yang sah di sisi undang-undang Malaysia merupakan dokumen yang diperlukan dalam proses pendaftaran kelahiran.
TURUN PADANG
Program MEKAR JPN merupakan satu program turun padang dimana urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad, dan sijil kelahiran kepada golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman.
Usaha proaktif JPN bagi memastikan setiap penduduk di Malaysia yang layak dikeluarkan dokumen pengenalan diri yang sah dan sekaligus membolehkan mereka menikmati pelbagai bantuan dan kemudahan yang ditawarkan Kerajaan.
Selain itu, pendekatan ambil peduli JPN ini selaras dengan elemen ihsan dalam konsep Malaysia Madani.
Program MEKAR telah memberi manfaat kepada kumpulan sasar di mana pada tahun 2025, sebanyak 378 program telah dijalankan di Negeri Perak dan telah menerima sebanyak 1,526 permohonan serta 1,935 khidmat nasihat.
