WARGA KDN IKUTI SESI SIARAN LANGSUNG MAJLIS PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP (KPDN)

PUTRAJAYA, 9 Mac 2026 – Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan dan Agensi di bawahnya hari ini mengikuti siaran langsung Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang berlangsung di Putrajaya. Turut hadir Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Dato’ Haji Abdul Halim Abdul Rahman; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), Datuk Haji Makhzan Mahyuddin bersama barisan pengurusan tertinggi dan warga kementerian.

Dalam majlis tersebut, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif Kerajaan MADANI bagi meringankan beban rakyat menjelang Aidilfitri. Antaranya mempercepatkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada 5.2 juta penerima, penyaluran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran kerajaan serta penghargaan kepada lebih 70,000 petugas institusi keagamaan di seluruh negara.

Kerajaan turut memperluas subsidi tiket penerbangan melalui inisiatif FLYsiswa bagi membantu lebih 50,000 mahasiswa pulang ke kampung halaman, selain memperkukuh pelaksanaan Jualan Rahmah MADANI bagi memastikan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga berpatutan.

Pada masa sama, kerajaan mengumumkan laluan kenaikan pangkat baharu bagi skim Pembantu Tadbir Perkeranian dan Operasi serta Pembantu Tadbir Kewangan daripada Gred 1 hingga Gred 5 melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tertakluk kepada tempoh perkhidmatan, kelayakan dan latihan yang bersesuaian.

Penyertaan warga KDN dalam sesi siaran langsung ini mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam menyokong agenda Kerajaan MADANI serta memastikan usaha kerajaan memperkukuh kebajikan rakyat dan perkhidmatan awam dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *