𝗝𝗦𝗝𝗑 & π—π—¦π—π—ž π—•π—˜π—₯𝗣𝗔𝗗𝗨 π—§π—¨π— π—£π—”π—¦π—žπ—”π—‘ π— π—”π—žπ— π—”π—Ÿ 𝗗𝗔𝗗𝗔𝗛 π—•π—˜π—₯π—‘π—œπ—Ÿπ—”π—œ π—₯π— πŸ΄πŸ².𝟳𝟴 𝗝𝗨𝗧𝗔 – π—¦π—œπ—‘π——π—œπ—žπ—˜π—§ 𝗠𝗗𝗠𝗔 𝗧𝗨𝗠𝗣𝗔𝗦 π——π—”π—Ÿπ—”π—  𝟯 π—¦π—˜π—₯𝗕𝗨𝗔𝗑

Melaka, 11 Mac 2026 – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia sekali lagi mencatat kejayaan besar apabila berjaya membongkar sebuah makmal pemprosesan dan penyimpanan dadah jenis MDMA yang dipercayai untuk pasaran tempatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM86.78 juta.

Kejayaan tersebut diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, YDH CP Dato’ Hussein Omar Khan dalam satu sidang media di Dewan Parameswara, Ibu Pejabat Kontinjen Melaka, pagi ini.

Bertindak hasil maklumat risikan, JSJN dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah melancarkan tiga siri serbuan berasingan di sekitar Melaka bermula 6 hingga 8 Mac 2026, yang membawa kepada penahanan empat (4) lelaki tempatan dan seorang (1) wanita tempatan berusia antara 23 hingga 55 tahun.

Dalam serbuan pertama di sebuah rumah teres di Taman Puncak Bertam, Melaka, polis berjaya menahan tiga suspek serta merampas 12 bungkusan dadah disyaki Erimin 5 seberat 1.73 kg, selain 13 telefon bimbit, tujuh buku nota dan sebuah komputer riba.

Serbuan kedua di Taman Kenanga, Melaka pula membawa kepada penahanan dua lagi suspek serta rampasan cecair dan serbuk disyaki MDMA, pil ekstasi, pil Erimin 5 dan ketamin.

Susulan tangkapan tersebut, serbuan ketiga di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Satu Krubong, Melaka berjaya menemui makmal pemprosesan dadah bersama rampasan besar melibatkan cecair dan serbuk MDMA, pil ekstasi, pil Erimin 5, ketamin serta pelbagai peralatan memproses dadah.

Secara keseluruhan, jumlah rampasan melibatkan:

  • Cecair disyaki MDMA: 284.96 kg
  • Serbuk disyaki MDMA: 306.60 kg
  • Pil ekstasi: 0.17 kg
  • Pil Erimin 5: 1.88 kg
  • Ketamin: 1.01 kg

Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM86.78 juta dan dipercayai mampu dibekalkan kepada pasaran tempatan dalam jumlah yang besar sekiranya tidak berjaya dipatahkan oleh pihak polis.

Turut hadir, YDH DCP Dato’ Dzulkhairi Mukhtar, Ketua Polis Melaka, YDH DCP Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin bin Che Ali, Timbalan Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi), YDH SAC Datuk Dr Jasmirol bin Jamaluddin, Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan/Operasi), YDH ACP Mohd Taufik bin Maidin, Penolong Pengarah Narkotik (Risikan Zon II), YDH Supt Mohd Nazri bin Ismail, KJSJN Melaka serta pegawai-pegawai JSJN Bukit Aman dan kontinjen Melaka.

JSJN menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah bagi memastikan sindiket pengedaran dadah dapat dibanteras secara berterusan.
πŸ“ž Hotline JSJN: 012-208 7222

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *