






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
11 MAC 2026
Masyarakat disarankan agar berperanan sebagai mata dan telinga agensi pemberi bantuan dengan menyalurkan maklumat mengenai mana-mana asnaf yang memerlukan terus kepada pihak berkaitan.
Langkah penyaluran maklumat melalui saluran rasmi seperti amil kariah atau pemimpin masyarakat setempat adalah jalan terbaik bagi memastikan setiap kes keciciran dapat diambil tindakan segera oleh pihak pelbagai agensi.
Dalam pada itu, orang ramai digalakkan untuk melakukan semakan ringkas atau mendapatkan gambaran sebenar terlebih dahulu sebelum berkongsi sesuatu isu di media sosial bagi mengelakkan salah faham.
PENGESAHAN STATUS KEMISKINAN
Dalam hubungan ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan pelbagai agensi menggunakan pengesahan status kemiskinan dalam sistem e-Kasih sebagai rujukan utama dalam menyelaraskan bantuan, di mana kemungkinan besar individu yang tular tersebut sudah pun berada dalam senarai penerima atau sedang dalam proses penyaluran bantuan yang sewajarnya.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan Program Ijtimak Amil Kariah Negeri Perlis anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Batu 5, Jalan Kuala Perlis baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
PARA AMIL ZAKAT
Program Ijtimak Amil ini diadakan sebagai platform pertemuan yang menghimpunkan para amil zakat bagi memperkukuh peranan mereka dalam pengurusan kutipan serta agihan zakat kepada golongan asnaf di negeri ini.
Seramai 100 orang amil yang mewakili seluruh kariah di negeri Perlis telah mengambil bahagian dalam program tersebut.
Penganjuran program ini bertujuan memberi taklimat serta penyelarasan berkaitan dasar, garis panduan dan tatacara pengurusan zakat supaya pelaksanaannya dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, telus dan berkesan.
Melalui program ini juga, para amil diberikan pendedahan berkaitan tanggungjawab serta amanah yang dipikul dalam memastikan kutipan zakat dapat disalurkan dengan tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPS turut berkenan menyempurnakan pengurniaan agihan khas MAIPs kepada 100 orang amil yang terlibat. – JM
