Sistem MyRMK dilancar sebagai platform pemantauan bersepadu perkukuh pelaksanaan RMK13

Oleh: Sholina Osman
12 MAC 2026

Kementerian Ekonomi hari ini melancarkan Sistem MyRMK sebagai platform pemantauan bersepadu bagi memperkukuh pelaksanaan dan pemantauan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Kenyataan media Kementerian Ekonomi memaklumkan ia selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kecekapan penyampaian, memperkukuh tatakelola serta memastikan manfaat pembangunan benar-benar sampai kepada rakyat.

Pelancaran sistem itu diadakan sempena Mesyuarat Kumpulan Perancang Antara Agensi (IAPG) Perdana yang dihadiri kira-kira 500 peserta mewakili kementerian, agensi pusat dan kerajaan negeri.

TUNJANG KEPADA KEJAYAAN

Kehadiran pelbagai pihak ini mencerminkan pendekatan whole-of-government yang menjadi tunjang kepada kejayaan pelaksanaan dan pemantauan RMK13.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, RMK13 kini memasuki fasa yang menuntut pelaksanaan yang pantas, pemantauan yang rapi dan penyampaian yang berkesan, sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI untuk menaikkan siling ekonomi negara, menaikkan lantai kesejahteraan rakyat dan memperkukuh tatakelola.

“RMK13 bukan sekadar dokumen perancangan lima tahun, tetapi amanah pembangunan negara yang mesti diterjemahkan kepada tindakan, hasil dan manfaat yang dirasai rakyat,” kata beliau.

MENJEJAK KEMAJUAN PELAKSANAAN

Menurut beliau, Sistem MyRMK dibangunkan untuk menjejak kemajuan pelaksanaan, prestasi kewangan, pencapaian output serta isu-isu pelaksanaan merentas kementerian dan agensi.

Sistem ini turut diintegrasikan dengan platform lain seperti MyProjek dan MyBelanjawan bagi membolehkan pemantauan dibuat secara lebih menyeluruh, telus dan responsif.

Beliau berkata, kerajaan menegaskan bahawa pemantauan RMK13 tidak akan bergantung kepada sistem semata-mata, sebaliknya akan diperkukuh melalui lawatan tapak secara berkala dan libat urus bersama kementerian dan agensi bagi memastikan isu sebenar di lapangan dapat dikenal pasti dan ditangani dengan segera.

DATA MEMBERI ISYARAT

“Kita mahu kerajaan yang bukan sahaja membaca data, tetapi juga memahami realiti di lapangan. Data memberi isyarat, tetapi lapangan memberi realiti. Sebab itu pemantauan melalui sistem mesti disokong dengan kehadiran di lapangan dan tindakan susulan yang pantas,” kata beliau.

Di bawah RMK13, sebanyak RM430 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan kerajaan untuk tempoh lima tahun.

Jumlah itu disokong oleh RM120 bilion daripada GLC dan GLIC serta RM61 bilion melalui projek Kerjasama Awam-Swasta (PPP), menjadikan keseluruhan komitmen pembangunan sebanyak RM611 bilion.

Bagi tahun 2026 sahaja, sebanyak RM81 bilion telah diperuntukkan di bawah bajet pembangunan.

Akmal Nasrullah berkata, skop pemantauan kerajaan merangkumi semua projek, sama ada berskala besar atau kecil, selagi ia memberi
impak langsung kepada kesejahteraan rakyat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *