𝐊𝐏𝐊𝐌 𝐒𝐀𝐋𝐔𝐑 π‘πŒπŸπŸŽ 𝐉𝐔𝐓𝐀 π’πŠπˆπŒ π“π€πŠπ€π…π”π‹ π“π€ππ€πŒπ€π ππ€πƒπˆ πŠπ„ππ€πƒπ€ 𝐏𝐄𝐒𝐀𝐖𝐀𝐇 πƒπˆ πŠπ€π–π€π’π€π πŒπ”πƒπ€

KEDAH, 8 MAC 2026 – KPKM telah menyalurkan sumbangan di bawah Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) kepada pesawah di Kawasan Muda semalam sebagai langkah memperkukuh perlindungan terhadap risiko kerosakan tanaman serta memastikan kelangsungan sumber pendapatan golongan pesawah.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, yang turut mengadakan pertemuan bersama pimpinan peladang di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Dalam majlis tersebut, pampasan STTP disampaikan kepada beberapa kawasan melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM10 juta, antaranya MADA Perlis sebanyak RM5,724,142.50; MADA Jitra, Kedah sebanyak RM3,924,615.00; Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bintong sebanyak RM242,427.21; PPK Beseri sebanyak RM51,384.15 serta Wilayah 4 MADA Kota Sarang Semut, Kedah sebanyak RM62,280.00.

Skim yang diperkenalkan pada September 2024 ini, menyediakan perlindungan kewangan kepada pesawah berdaftar yang mengalami kerosakan atau kerugian kekal tanaman padi akibat bencana alam, serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman.

Skim tersebut menawarkan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar bagi setiap musim penanaman bagi kerugian akibat bencana alam, manakala kerugian akibat serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman dilindungi sehingga RM1,500 sehektar semusim.

Sehingga kini, seramai 10,726 pesawah telah menerima pampasan berjumlah RM24.6 juta di bawah Skim Takaful Tanaman Padi.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa kerajaan komited memastikan kebajikan pesawah terus terbela melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif sokongan kepada sektor padi negara.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap bantuan dan perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan serta sampai kepada pesawah di lapangan.

Melalui pelaksanaan Skim Takaful Tanaman Padi ini, Kerajaan terus komited memperkukuh sokongan kepada pesawah dalam menghadapi risiko luar jangka, sekali gus memastikan sektor penanaman padi negara kekal mampan serta menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara.

Di akhir majlis, YB Menteri turut menyampaikan sumbangan zakat MADA kepada 10 orang penerima yang layak.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *