


๐ฃ๐จ๐๐๐จ ๐ฃ๐๐ก๐๐ก๐, ๐ญ๐ฏ ๐ ๐ฎ๐ฐ โ Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang mempergiatkan kawalan keselamatan perairan negeri ini menerusi pelaksanaan Operasi Pagar Laut yang dilaksanakan secara berfasa sejak awal pelaksanaannya dari tahun 2017 bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Bin Mohd Ramli berkata, operasi tersebut dilaksanakan dalam tiga fasa utama bermula 6 Mac hingga 10 April 2026, melibatkan pemantauan serta penguatkuasaan secara berterusan di kawasan perairan negeri ini.
Menurut beliau, fasa pertama iaitu fasa sebelum perayaan dilaksanakan bermula 6 Mac hingga 20 Mac, diikuti fasa penguatkuasaan dari 21 Mac hingga 3 April, manakala fasa pemantauan akan berlangsung dari 4 April hingga 10 April.
โPelaksanaan operasi ini memberi tumpuan kepada usaha menyekat kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta mengekang aktiviti penyeludupan seperti bunga api, mercun dan barangan kawalan yang cuba dibawa masuk melalui persempadanan perairan negara,โujar Muhd Suffi.
Beliau turut menjelaskan bahawa operasi ini juga bertujuan membanteras aktiviti penyeludupan dadah berbahaya yang menggunakan laluan laut termasuk melalui jeti penumpang, bot penumpang, kapal serta Vesel Nelayan Tempatan (VNT) sebagai medium pengangkutan.
Bagi memastikan operasi berjalan dengan berkesan, Maritim Negeri Pulau Pinang telah mengatur gerak sebuah kapal dan dua buah bot peronda bagi menjalankan rondaan serta pemantauan di kawasan perairan yang menjangkau keluasan 85 batu nautika sektor operasi.
Tambah beliau, berdasarkan rekod penguatkuasaan Maritim Negeri Pulau Pinang menerusi Op Pagar Laut, sebanyak 21 kes tangkapan telah direkodkan sepanjang tempoh tahun 2020 hingga 2025, dengan jumlah nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM180,00.00.
โMaritim Malaysia akan terus komited memperkukuhkan kawalan keselamatan perairan negara bagi memastikan sebarang aktiviti jenayah maritim dapat dicegah dan dibanteras secara berkesan,โ tambah beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Suffi turut menyampaikan bingkisan Aidilfitri serta berbuka puasa bersama pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang bertugas mengawal keselamatan perairan negeri ini.
Beliau berkata, inisiatif tersebut sebagai tanda penghargaan kepada anggota penguat kuasa yang terus komited melaksanakan tugas walaupun dalam suasana Ramadan dan menjelang sambutan Aidilfitri.
Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut diminta menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 bagi membantu pihak berkuasa mengambil tindakan segera.
