

๐ฃ๐จ๐๐๐จ ๐ฃ๐๐ก๐๐ก๐, ๐ญ๐ฐ ๐ ๐ฎ๐ฐ โ Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli โturun padangโ ke laut bagi menyantuni anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang bertugas di perairan negeri ini menerusi Program Singgah Sahur awal pagi semalam.
Ujar beliau, program berkenaan dilaksanakan sebagai tanda penghargaan kepada anggota yang terus komited menggalas tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara walaupun dalam bulan Ramadan.
โWalaupun berdepan cabaran bertugas di laut ketika Ramadan, anggota Maritim Malaysia tetap menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal,โ jelas beliau lagi.
Program berkenaan turut disertai Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain bersama beberapa pegawai lain.
Dalam tinjauan tersebut, Kapal Maritim Malaysia KM BURAU yang sedang melaksanakan Op KHAS PAGAR LAUT menjadi lokasi persinggahan bagi menyantuni kru kapal yang bertugas mengawal keselamatan perairan negeri ini.
Pada kesempatan itu, Muhammad Suffi turut menyampaikan amanat kepada anggota agar terus mengekalkan disiplin, integriti dan tahap kesiapsiagaan tinggi dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan sepanjang Ramadan.
Program Singgah Sahur ini dilihat sebagai inisiatif kepimpinan Maritim Negeri Pulau Pinang untuk mendekati anggota di lapangan selain memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga pasukan yang tetap menjalankan tugas walaupun di bulan Ramadan.
