Jangan diberi sebarang ruang kepada ‘pembelot negara’ – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
16 MAC 2026

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar jangan diberi sebarang ruang kepada ‘pembelot negara’.

‘Tanpa pengorbanan, dedikasi dan komitmen tinggi daripada anggota pasukan keselamatan, keamanan yang kita nikmati hari ini sukar dipertahankan’.

Baginda juga mengingatkan para anggota keselamatan bahawa Allah SWT melihat dan memantau setiap pergerakan dan perbuatan kita semua setiap masa.

Oleh itu, tingkatkanlah tekad, serta semangat juang, dan curahkanlah sepenuh jiwa dan raga dengan rasa cinta yang mendalam kepada negara. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa masing-masing.

SUMBANGAN KUIH RAYA

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kuih Raya kepada Pegawai dan Anggota Keselamatan yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri 2026 di Dewan Serbaguna Kompeni C Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Padang Besar.

Berkenan berangkat Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Noor Azman Abdul Rahman.

MEMUJI LANGKAH BERSEPADU

Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra memuji langkah bersepadu yang dilaksanakan oleh agensi-agensi keselamatan di negeri ini bertujuan menjadikan Perlis sebagai kawasan yang berisiko paling tinggi kepada mana-mana pihak yang cuba menjalankan kegiatan haram rentas sempadan Malaysia-Thailand.

Sesungguhnya usaha tersebut menuntut tahap integriti yang tinggi, iltizam berterusan, serta kerjasama erat daripada semua pihak yang terlibat.

Tuanku Raja Muda menambah bahawa Baginda turut dimaklumkan yang pasukan keselamatan akan mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan serta ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang.

DENGAN RAKAN SEJAWAT

Dalam masa yang sama, kerjasama dengan rakan sejawat di negara jiran, khususnya pihak berkuasa di Thailand, akan terus diperkasakan bagi memastikan kawalan di kedua-dua belah sempadan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan rasa bangga kerana masyarakat di kedua-dua belah sempadan, termasuk rakyat di Negeri Perlis sendiri, semakin sedar dan peka serta memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat tepat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan.

Menurut Baginda, perkembangan tersebut mencerminkan kematangan masyarakat yang semakin bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan dalam membantu memelihara keselamatan negara.

SOKONGAN DAN KERJASAMA

“Sesungguhnya, keselamatan negeri dan negara bukanlah tanggungjawab pasukan keselamatan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan dan kerjasama seluruh masyarakat,” tegas Baginda.

Program tahunan ini diurusetiakan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada kali ini sebagai manifestasi penghargaan dan sokongan kepada para pegawai serta anggota keselamatan yang sentiasa komited melaksanakan amanah menjaga keselamatan dan kedaulatan negara, khususnya di kawasan sempadan.

Pada masa yang sama, program ini menjadi lambang penghargaan kepada barisan hadapan keselamatan negara yang tetap menjalankan tanggungjawab ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara terus terjamin.

SIMBOLIK PERASMIAN PROGRAM

Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik perasmian program serta penyampaian sumbangan kuih raya kepada 12 agensi keselamatan yang terlibat termasuk PGA, Markas Briged Ke-30 Infantri, IPK Perlis, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Perlis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Batalion Ke-4 Rejimen Renjer Diraja, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis, Polis Marin, serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perlis.

Majlis tersebut turut dihadiri delegasi keselamatan dari Thailand yang diketuai oleh Komander Polis Wilayah Satun, Mejar Jeneral Polis Nipon Hamsalamat, selain wakil-wakil Tentera, Polis, Kastam, dan Imigresen dari Wilayah Satun dan Songkhla yang bersempadan dengan Wang Kelian dan Padang Besar serta Major Jeneral Polis (B) Datuk Pichate Pitisatetapan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *