






Oleh: Sholina Osman
16 MAC 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri program sumbangan asnaf anjuran Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Perlis yang berlangsung di Teratak Rahmat, Pusat Al Islah Perlis, di Mata Ayer, Arau.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni golongan yang memerlukan di negeri ini.
Turut hadir ialah wakil daripada THB Maintenance Sdn. Bhd. dan Senggara Utara Sdn. Bhd., selain rakan strategik daripada Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP).
MENCERMINKAN KOMITMEN BERTERUSAN
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam menyokong usaha kebajikan dan pembangunan masyarakat, khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan di negeri ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan beramah mesra dan menyaksikan penyampaian sumbangan kepada anak-anak penghuni rumah amal tersebut.
Wakil PKMM Perlis merafak sembah dan menjunjung setinggi kasih atas limpah perkenan Tuanku Raja Muda yang sudi berangkat dan berkongsi titah nasihat dan juga perangsang yang penuh ikhlas pada sesi sembang santai dan moreh bersama baginda. – JM
