Raja Muda Perlis terima sembah mengadap KSU Kementerian Belia dan Sukan

Oleh: Sholina Osman
19 MAC 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Rahimi Ismail dan isteri, di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan anakanda sulung Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Datuk Rahimi sebelum ini telah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis bermula pada 11 Oktober 2024 sehingga 8 Mac 2026, sebelum memulakan tugas baharu sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Belia dan Sukan pada 9 Mac 2026 baru-baru ini.

UCAPAN TERIMA KASIH

Dalam sesi mengadap perpisahan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas khidmat bakti Datuk Rahimi kepada negeri dan umat Perlis sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di sini.

Antara kejayaan besar ialah peranan beliau dalam menyelaraskan penganjuran Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis yang menandakan 25 tahun pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis pada 17 April 2025 yang lalu.

Tuanku Raja Muda menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Datuk Rahimi dalam menguruskan situasi banjir besar yang melanda negeri Perlis pada penghujung tahun lalu, selain peranannya dalam memastikan proses peralihan kepimpinan negeri, termasuk pertukaran Menteri Besar Perlis pada penghujung Disember, berjalan dengan lancar.

Tuanku Raja Muda Perlis turut menzahirkan doa serta harapan agar Datuk Rahimi terus melakar kejayaan dan kecemerlangan dalam kerjaya beliau, khususnya dalam menggalas tanggungjawab baharu di peringkat Persekutuan demi kemajuan belia dan pembangunan sukan negara. Baginda juga berharap beliau dapat terus membantu kecemerlangan dan pembangunan belia dan sukan negeri Perlis dalam kapasiti baharu itu nanti. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *