Raja Muda, Raja Puan Muda Perlis ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin

Oleh: Sholina Osman
19 MAC 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Negeri Perlis serta umat Islam di mana jua berada.

Ucapan yang sama dititipkan oleh anakanda-anakanda Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Farah Adriana Jamalullail, dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail sempena Majlis Perhimpunan Ramadan dan Aidilfitri Warga Kerja Unit Tuanku Raja Muda di Istana Arau.

MENUNAIKAN IBADAH PUASA

Baginda bertitah, setelah sebulan umat Islam menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadan yang penuh keberkatan, Aidilfitri hadir sebagai lambang kemenangan dan kesyukuran, di samping menjadi kesempatan terbaik untuk mempereratkan hubungan silaturahim sesama keluarga, sahabat handai serta masyarakat.

Baginda berdua turut menyeru agar semangat perpaduan, saling menghormati dan nilai kasih sayang terus dipupuk dalam kalangan masyarakat demi memastikan kesejahteraan negeri dan negara sentiasa terpelihara.

Dalam masa yang sama, Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda mengajak umat Islam agar tidak melupakan saudara-saudara seagama yang sedang berdepan dengan pelbagai ujian dan penderitaan di beberapa negara yang sedang bergolak dengan terus mendoakan keamanan serta kesejahteraan buat mereka.

Baginda juga menasihatkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya serta mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *