




Oleh: Sholina Osman
20 MAC 2026
Setiap kali menjelangnya hari raya, akan muncullah artikel di media sosial yang mengaitkan periuk kera yang kini popular digunakan untuk membuat lemang.
Artikel ini biasanya untuk “menggerunkan” para peminat lemang periuk kera dari sudut kesihatan dan meraih simpati bagi pencinta alam.
Apapun yang diperkatakan lemang periuk kera tetap mencapai tahap paling “terlaris” di pasaran sehingga kini untuk dijadikan sebagai hidangan di Aidilfitri.
Ini diakui oleh Hasnifazlina Hasan , 41 atau dikenali Hasni yang mengusahakan Ketupat Lemang Tepi Shell yang terletak di hadapan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kangar, Jalan Kangar-Alor Setar di mana saban tahun permintaan terhadap lemang periuk kera yang dijualnya semakin meningkat.
SELAMAT UNTUK DIBUAT
Beliau berkata, spesies periuk kera yang digunakan ini sebenarnya selamat untuk dibuat lemang sepertimana sejak berzaman dibuat oleh orang kampung di Pahang.
“Tahun ini saya hanya mampu menyediakan hanya 1,000 kilogram pulut untuk dibuat lemang periuk kera,” kata beliau.
Penulis sendiri melihat bagaimana kebanyakan pelanggan yang datang akan ada yang bertanya lemang periuk kera.
Sayangnya stok lemang periuk kera terhad kerana terlalu laris.
“Teringat lagi masa mula-mula saya perkenal lemang periuk kera, jualan lembab sebab masa itu ramai yang nampak ia sebagai pelik dan tidak berani mencuba,” kata Hasni.
PERMINTAAN SEMAKIN MENINGKAT
Bagaimanapun katanya sejak empat tahun lalu permintaan semakin meningkat sehingga mendapat sambutan sangat luar biasa pada tahun ini.
Hasni berkata yang datang membeli bukan sahaja orang Perlis tetapi juga dari luar yang sanggup datang untuk membeli lemang periuk kera.
“Saya tidak dapat menghasilkan banyak lemang periuk kera kerana bekalan ini terhad di mana hanya diperoleh dari orang Asli dari Pahang,” katanya.
Selain lemang periuk kera, Hasni juga menjual ketupat pulut putih dan juga ketupat pulut hitam.
Bagi kemudahan pelanggan, beliau juga menyediakan rendang daging, rendang ayam, rendang ayam kampung dan juga pelbagai jenis serunding untuk dimakan dengan ketupat. – JM
