Penjawat awam di Maran, Pahang rugi RM160,000 ditipu “love scam”

Wartawan JM
20 MAC 2026

Seorang penjawat awam di Maran, Pahang kerugian RM160,000.00 setelah terlibat dengan “love scam” sehingga diperdaya untuk pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Maran Superitendan Wong Kim Wai berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Maran, Pahang telah menerima satu laporan polis melibatkan seorang penjawat awam yang mendakwa menjadi mangsa penipuan oleh kenalan wanita yang dikenalinya melalui aplikasi media sosial berdasarkan laporan.

“Mangsa telah berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi FB sebelum berhubung lanjut di aplikasi whatsapp,” kata beliau dalam kenyataan media.

MENAWARKAN PELUANG PELABURAN

Beliau berkata selepas tempoh perkenalan kira-kira sebulan, suspek telah menawarkan peluang pelaburan dalam satu platform dikenali sebagai “Future Funds” serta mendakwa boleh membantu dalam urusan pengeluaran keuntungan.

“Bermula 12 Februari 2026 hingga 4 Mac 2026, mangsa telah melakukan lapan transaksi ke lima akaun syarikat yang berbeza-beza melibatkan jumlah keseluruhan RM160,000.00 terdiri daripada simpanan sendiri, pinjaman ahli keluarga serta pinjaman bank,” kata beliau.

Kim Wai berkata pada peringkat awal, mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM2,000.00 sebelum suspek terus meminta bayaran tambahan termasuk RM57,000.00 dan RM10,000.00 dengan pelbagai alasan tanpa sebarang pulangan lanjut.

BERHUBUNG MELALUI APLIKASI

Beliau berkata mangsa tidak pernah berjumpa dengan suspek dan hanya berhubung melalui aplikasi whatsapp serta panggilan video.

“Nombor kad pengenalan yang diberikan juga adalah palsu,” kata beliau.

Kim Wai berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu.

Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek dan mengumpul keterangan berkaitan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *