Konflik Asia Barat: KKM sahkan bekalan ubat-ubatan dalam negara stabil

Oleh: Sholina Osman
23 MAC 2026

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa bekalan ubat-ubatan dalam negara pada masa ini adalah stabil dan terkawal sekalipun berlaku konflik di Asia Barat.

Kenyataan media KKM memaklumkan berdasarkan penilaian semasa, kesan konflik yang berlaku di Asia Barat untuk jangka masa pendek adalah minimum.

“Paras stok ubat fasiliti KKM disimpan antara 1 hingga 3 bulan berdasarkan
keperluan penggunaan dan disokong oleh stok penimbal tambahan sehingga 2 bulan di peringkat syarikat konsesi bagi ubat-ubatan yang dibekalkan melalui konsesi logistik,” kata kenyataan itu.

Secara keseluruhannya, pemantauan bekalan ubat dalam negara juga dilaksanakan secara berterusan melalui mekanisme sedia ada, termasuk sistem pelaporan gangguan bekalan oleh Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) yang dikendalikan
oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

TIADA PENINGKATAN TREND

Sehingga 22 Mac 2026, tiada
peningkatan trend dalam pelaporan PRH melibatkan gangguan bekalan ubat-ubatan dikesan.

Maklum balas daripada pihak industri farmaseutikal tempatan menunjukkan bahawa pengilang tempatan mempunyai stok bahan mentah sehingga 3 bulan dan produk siap sekitar 2 bulan, manakala pihak pengimport turut melaksanakan pemantauan rapi terhadap rantaian bekalan masing-masing.

KKM akan terus memantau dengan teliti perkembangan konflik di Asia Barat dan komited mengambil langkah-langkah proaktif termasuk penubuhan pasukan petugas
(taskforce) yang terdiri daripada pihak industri farmaseutikal dan pemegang taruh berkaitan untuk pemantauan serta memastikan keterjaminan bekalan ubat terutama melibatkan ubat-ubatan di bawah Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML) di
Malaysia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *