Pesara wanita rugi RM99,085.97 akibat ditipu pelaburan emas di FB

Wartawan JM
18 MAC 2026

Percaya dengan pelaburan emas di Facebook (FB) akhirnya menyebabkan seorang pesara wanita menanggung kerugian sebanyak RM99,085.97.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata wanita tempatan ini menyedari telah menjadi mangsa penipuan pelaburan emas dalam talian pada 17 Mac 2026.

“Siasatan awal kita mendapati mangsa telah melihat satu iklan pelaburan emas di laman sosial FB sebelum menekan pautan yang disediakan,” kata Ashari dalam kenyataan media.

Beliau berkata mangsa kemudiannya berurusan dengan seorang individu yang dikenali sebagai “Azian”.

MENAWARKAN SATU SKIM

Jelas beliau suspek kemudiannya menawarkan satu skim pelaburan dengan modal serendah RM300.00.

Bagaimanapun katanya, suspek menjanjikan ia dengan pulangan tinggi iaitu antara RM10,000.00 hingga RM15,000.00 dalam tempoh yang singkat.

“Mangsa telah membuat bayaran permulaan sebanyak RM300.00 dan dimaklumkan telah memperoleh keuntungan sebanyak RM14,440.00 dalam tempoh 24 jam,” kata Ashari.

Walau bagaimanapun, kata beliau bagi tujuan pengeluaran keuntungan tersebut, mangsa telah diminta membuat pelbagai bayaran tambahan.

MELAKUKAN 19 TRANSAKSI

Berikutan itu kata beliau mangsa telah melakukan 19 transaksi ke beberapa akaun bank berbeza sehingga kesemuanya berjumlah RM99,085.97.

Ashari berkata mangsa yang menyedari telah ditipu itu kemudiannya tampil membuat laporan polis.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan luar biasa dalam tempoh singkat, khususnya melalui media sosial.

Orang ramai juga digalakkan untuk membuat semakan melalui portal Semak Mule CCID atau hubungi pihak berkuasa dan hadir ke balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang transaksi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *