Kontraktor di Kuantan rugi RM356,342.00 ditipu pelaburan tidak wujud

Wartawan JM
23 MAC 2026

Mencari-cari peluang pelaburan di Google akhirnya terperangkap dengan iklan pada laman web dikenali yang sebagai “marinasand”.

Sayangnya keuntungan 10 peratus yang dijanjikan dari pelaburan tidak kesampaian.

Sebaliknya seorang kontraktor di Kuantan, Pahang terpaksa menanggung kerugian RM356,342.00.

Perkara ini didedahkan oleh Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman setelah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang menerima satu laporan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mengenai
mangsa yang berusia 34 tahun ini yang terpedaya dengan pelaburan tidak wujud melalui satu laman sesawang.

SATU IKLAN PELABURAN

“Pada 18 Februari 2026, mangsa seorang lelaki tempatan telah melihat satu iklan pelaburan di Google melalui laman web dikenali sebagai
“marinasand”,” kata Yahaya dalam kenyataan media.

Beliau berkata mangsa kemudiannya telah mendaftar dan menyertai pelaburan tersebut yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus daripada jumlah pelaburan.

Jelas beliau, sebanyak enam belas transaksi pindahan wang ke dalam lima akaun bank yang berbeza bermula dari 18 Februari 2026 hingga 19 Mac 2026 telah dilakukan mangsa dengan melibatkan keseluruhan kerugian sebanyak RM356,342.00.

MENERIMA PULANGAN AWAL

“Mangsa hanya menerima pulangan awal sekitar RM1,000.00 sebelum tidak menerima sebarang keuntungan seterusnya seperti dijanjikan selepas itu,” kata Yahaya.

Beliau berkata mangsa juga mendapati sudah tidak lagi boleh lagi mengakses laman sesawang pelaburan tersebut sehingga mula menyedari telah ditipu.

Sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan peribadi serta wang syarikat miliknya.

MENDAPATKAN NASIHAT AWAL

Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai dinasihatkan supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan, bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Orang ramai juga disarankan untuk membuat semakan nombor akaun melalui laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.

Sekiranya mengesyaki telah menjadi mangsa penipuan, orang ramai diminta untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi tindakan segera. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *