Lebih 7,000 rakyat berbilang kaum hadir meriahkan sambutan Aidilfitri di Istana Arau

Oleh: Sholina Osman
21 MAC 2026

Lebih 7,000 rakyat berbilang kaum hadir bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri di Istana Arau dengan menikmati pelbagai juadah yang disajikan.

Bersempena majlis itu, para pengunjung yang hadir tidak melepaskan peluang untuk mengadap dan bersalaman dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Berkenan berangkat memeriahkan majlis ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda baginda berdua, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

SANGAT DINANTIKAN RAKYAT

Majlis tahunan Istana Terbuka ini sangat dinantikan rakyat selama ini apabila kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2019.

Ketiadaan majlis ini disebabkan Covid-19 dari 2020-2022, Baginda Tuanku Raja Perlis pula menjalani pembedahan kaki dan proses pemulihan pada 2023-2024, dan tahun lalu 2025, Gaza diserang.

Sambutan Aidilfitri @ Istana Arau iaitu Rumah Terbuka Istana Arau diadakan kembali di Dataran Majlis Istana Arau bermula dari pukul 9.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari, iaitu dari selepas solat sunat Aidilfitri yang diadakan di pekarangan Dataran Istiadat Istana Arau.

JUADAH YANG MENARIK

Pelbagai juadah yang menarik disediakan secara konsep ‘buffet’ untuk para tetamu yang hadir seperti nasi minyak, ayam masak ros, kurma daging Perlis, jelatah, tumis sotong, ketupat, rendang daging, rendang ayam, laksa Kuala Perlis, kueteow goreng, apom balik, ABC, aiskrim dan pelbagai jenis minuman, dan para hadirin menikmati juadah tersebut dalam kawasan khemah khas yang disediakan.

Terdapat juga aktiviti selingan seperti persembahan nyanyian, permainan ‘inflatable ala supa-dupa’, permainan ‘Rodeo Ride’, ‘game shows’ dan lain-lain lagi untuk kanak-kanak bermain.

Pelbagai dekorasi menarik dan ‘photo booths’ juga disediakan untuk para tetamu mengambil foto raya sebagai kenang-kenangan.

MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN “SHUTTLE”

Pada kali ini pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan “shuttle” MYBus membawa tetamu yang parkir kenderaan di Dewan Sivik Arau serta kawasan sekitar C-Mart.

Bas “shuttle”bergerak dari Dewan Sivik Arau dan menurunkan serta mengambil penumpang di ‘checkpoint’ pertama di hadapan Galeri Diraja Arau.

Seterusnya bergerak ke kawasan C-Mart dan menurunkan serta mengambil penumpang di ‘checkpoint’ kedua di hadapan Jalan Kebun belakang Istana Arau, di mana hadirin perlu berjalan kaki dari ‘checkpoint’ ke Dataran Majlis Istana Arau yang terletak di pintu belakang Istana.

Terdapat 10 agensi mengadakan kerjasama strategik dalam pelaksanaan Majlis Sambutan Aidilfiti pada kali ini iaitu Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), serta badan kerajaan serta swasta yang lain. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *