






Oleh: Sholina Osman
Foto: MAIPs
24 MAC 2026
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntuk sebanyak RM725,400 bagi menyokong pembangunan serta keperluan pendidikan di Sekolah Rendah Islam (SRI) Al-Furqan, Jejawi.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs, berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan tersebut dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Ar-Rahmaniah, Kuala Perlis baru-baru ini.
Mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
MENCERMINKAN KOMITMEN BERTERUSAN
Dalam ucapan beliau, Mohd Nazim memaklumkan bahawa peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam memperkasa institusi pendidikan Islam di negeri Perlis, khususnya dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkualiti.
Inisiatif ini juga selari dengan usaha memperkukuh pembangunan modal insan yang berteraskan nilai-nilai Islam yang syumul, sekali gus menyumbang kepada pembinaan generasi yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah dan daya saing.
Keprihatinan berterusan MAIPs ini diharap mampu memberi impak yang signifikan terhadap pembangunan pendidikan generasi muda, seterusnya melahirkan insan berilmu, berakhlak mulia, dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa.
Usaha berterusan ini mencerminkan iltizam MAIPs dalam memartabatkan pendidikan Islam sebagai tunjang pembinaan ummah, demi menjamin kelangsungan kecemerlangan agama, bangsa dan negeri pada masa hadapan. – JM
