




Oleh: Sholina Osman
26 MAC 2026
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan tiada ketirisan berlaku dalam pemberian subsidi minyak untuk nelayan ekoran konflik di Asia Barat.
Sehubungan itu Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata pihaknya akan memastikan nelayan menghargai subsidi yang diberikan oleh kerajaan yang bertujuan mendapatkan hasil tangkapan yang lebih besar.
“LKIM telahpun memperkenalkan aplikasi MyMinyak bagi memudahkan dapat mengawal pemberian subsidi pembelian minyak khusus untuk nelayan ke laut,” kata beliau kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-45 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Perlis di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Perlis, Perlis hari ini.
Muhammad Faiz berkata pembelian minyak menerusi applikasi ini lebih selamat di mana setiap nelayan mesti melalui beberapa tapisan untuk mengelak berlaku sebarang ketirisan.
“Aplikasi ini akan memudahkan kerajaan memantau setiap pembelian diesel mengikut keperluan nelayan untuk ke laut,” katanya.
Sementara itu PNK Kuala Perlis menerima geran sebanyak RM220,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan kilang air batu.
Muhammad Faiz berkata pemberian geran ini bergantung kepada keperluan yang mendesak oleh persatuan nelayan.
Beliau berkata keperluan air batu anta bahan utama yang diperlukan oleh nelayan sama ada di laut dan hasil tangkapan dibawa ke daratan.
Beliau berkata sebanyak RM5juta setiap setahun diperuntukkan sebagai geran dan pinjaman bagi persatuan yang memerlukan. – JM
