Malaysia harap gencatan senjata Afghanistan-Pakistan bawa kestabilan – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
27 MAC 2026

Malaysia berharap usaha gencatan senjata Afghanistan-Pakistan dan melibatkan kedua-dua negara tersebut dapat diterjemah serta diolah ke arah kestabilan yang berkekalan, berpaksi pada nilai ihsan, dan ukhuwah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demkian dalam perbualan telefon dengan pemangku Perdana Menteri Afghanistan Mullah Mohammad Hasan Akhund.

Anwar berkata mereka juga bercakap mengenai perkembangan semasa di rantau Asia Selatan dan sekitarnya, khususnya mengenai ketegangan Afghanistan-Pakistan.

UCAPAN EID MUBARAK

“Saya turut menyampaikan ucapan Eid Mubarak bersempena Aidilfitri kepada beliau dan seluruh rakyat Afghanistan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Jelas Anwar Malaysia malah konsisten dalam mendukung segala usaha dan ikhtiar diplomasi, termasuk yang telah digerakkan negara sahabat seperti Arab Saudi, Qatar dan Türkiye.

Beliau berkata dalam konteks yang sama, bantuan kemanusiaan terus diperkasa melalui kerjasama strategik bersama Global Peace Mission dan MERCY Malaysia yang antaranya mencakup pembaikan prasarana pendidikan, latihan kepakaran perubatan serta kesiapsiagaan bencana dan malapetaka.

MENCERMINKAN ILTIZAM MALAYSIA

Justeru, kata beliau segala inisiatif ini mencerminkan iltizam Malaysia dalam menyemarak solidariti di kalangan ummah secara tuntas dan berkesan.

Anwar berkata dalam kerangka yang lebih luas, Malaysia akan terus berperanan aktif melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam menilai isu pengiktirafan pihak berkuasa semasa Afghanistan (de facto) dengan penegasan terhadap prinsip keadilan, keterangkuman serta pemeliharaan hak wanita dan golongan minoriti, selain akses kepada pendidikan.

“Walhasil, pendekatan Malaysia kekal berpaksikan keseimbangan antara prinsip dan pragmatisme yakni menyemarak harapan, membina keyakinan, dan mempertunjukkan kepimpinan sebagai wahana damai dalam dunia yang semakin kacau,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *