






Oleh: Sholina Osman
28 MAC 2026
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) hari ini melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Siri Ketiga secara serentak di enam negeri sebagai sebahagian daripada strategi penguatkuasaan bersepadu untuk membanteras amalan pembuangan sampah kecil di tempat awam dan
jalan awam di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Kenyataan media SWCorp memaklumkan pendekatan ini berteraskan hukuman restoratif yang bukan sahaja memberi pengajaran,
malah membuka peluang pemulihan kepada pesalah melalui penglibatan langsung dalam aktiviti komuniti sekali gus menyemai nilai tanggungjawab terhadap kebersihan
persekitaran.
Bagi PKM Siri Ketiga, seramai 78 pesalah telah diperintahkan oleh mahkamah untuk menjalani khidmat masyarakat.
LANCAR DAN SELAMAT
Dalam memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan selamat, SWCorp telah mengambil langkah proaktif dengan mendapatkan pandangan
serta khidmat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan suhu tinggi yang sedang melanda negara.
Di samping itu, penglibatan Pejabat Kesihatan Daerah yang menempatkan petugas di lokasi pelaksanaan turut memastikan aspek
keselamatan, kesihatan dan pemantauan program dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Pecahan lokasi bagi pelaksanaan PKM kali ini adalah seperti berikut: Perlis – Dataran Sena, Kangar; Kedah – Pantai Murni, Yan; Wilayah Persekutuan – Dataran Merdeka; Kuala Lumpur; Pahang – Taman Tasik Bandar, Temerloh; Negeri Sembilan – Jalan BBN 1/2, Bandar Prima, Senawang dan Johor – Kampung Senibong, Johor Bahru.
KERJA-KERJA PEMBERSIHAN
Pelaksanaan ini menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh termasuk pembersihan siar kaki dan jalan awam, sistem saliran (scupper drain), tandas
awam dan kawasan pantai bagi memastikan persekitaran awam yang bersih, selamat dan sihat selaras dengan usaha kerajaan untuk membudayakan pengurusan sisa pepejal yang bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat.
Sebagai kesinambungan pelaksanaan, PKM Siri Keempat akan melibatkan lima pesalah di Perlis pada 29 Mac 2026, manakala PKM Siri Kelima akan melibatkan enam
pesalah pada 30 Mac 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Tuan Khalid Mohamed, menegaskan bahawa pelaksanaan PKM bukan sekadar bentuk hukuman, malah merupakan mekanisme pendidikan sivik kepada masyarakat.
INDIVIDU DAPAT MEMAHAMI
Melalui penglibatan langsung dalam komuniti, individu dapat memahami bahawa tindakan kecil seperti membuang sampah secara
tidak bertanggungjawab memberi kesan besar kepada kesejahteraan bersama dan kualiti ruang awam.
Pendekatan ini juga diharapkan dapat memupuk kesedaran dan
membentuk disiplin dalam menjaga kebersihan secara berterusan,” jelas beliau.
Bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan teratur, setiap aktiviti PKM dipantau secara rapi oleh pegawai penguat kuasa SWCorp dengan pematuhan ketat terhadap
Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk aspek keselamatan dan kebajikan pesalah.
SEBAHAGIAN DARI KOMITMEN
Langkah ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui SWCorp dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan sisa pepejal negara.
Sehingga kini, SWCorp telah mengeluarkan sebanyak 1,342 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh (7) negeri di bawah Akta 672 melibatkan 1,058 warganegara
tempatan dan 284 warganegara asing. – JM
