PELANCONG DARI BRUNEI CATAT KETIBAAN TERTINGGI KE SARAWAK FEBRUARI LALU

KUCHING, 27 Mac – Sarawak terus mencatat peningkatan kehadiran pelancong antarabangsa melalui lima negara utama menyumbang jumlah ketibaan tertinggi sepanjang Februari lalu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata berdasarkan statistik, Brunei merekodkan jumlah ketibaan tertinggi iaitu seramai 106,955 pelancong, diikuti Indonesia di tempat kedua dengan 50,611 pelawat.

Menurut beliau menariknya ketibaan pelancong dari Singapura menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 76.22 peratus berbanding Januari lalu.

“Peningkatan dari Januari menunjukkan lebih ramai pelancong dari Singapura. Ini merupakan sasaran yang baik di rantau Asia Tenggara. Dengan situasi global semasa, kita perlu menyusun semula strategi pasaran dan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Kuching.

Tambahnya China berada di kedudukan ketiga dengan 8,778 pelancong, diikuti Singapura 6,614 ketibaan dan Filipina dengan 3,917 pelancong ke Sarawak bagi tempoh sama.

Beliau turut menegaskan perkembangan ini merupakan petanda positif terhadap strategi tumpuan pasaran pelancongan di rantau Asia Tenggara, khususnya dalam keadaan global yang mencabar ketika ini.

MADELINA

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *