Setiap individu mesti mematuhi fatwa pencemaran alam sekitar – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto MAIPs
4 APRIL 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan semua umat Perlis bahawa, setiap individu mesti mematuhi fatwa pencemaran alam sekitar.

Secara khususnya, tanggungjawab menjaga keceriaan masjid tidak boleh diletakkan di bahu pihak berkuasa sahaja, tetapi memerlukan tindakan nyata serta sikap bertanggungjawab daripada setiap anak kariah.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM24,750 untuk tujuan Bantuan Khas Kewangan Kepada Penjaga Kawasan Masjid Seluruh Negeri Perlis Bagi Tahun 2026.

HADIR MENERIMA PLAKA

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam di Bahagian Pengurusan Masjid di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Muhammad Faris Shaharudin hadir menerima plaka tersebut daripada Baginda sempena program MAIPs Peduli di sekitar Kota Raja Arau baru-baru ini.

Program anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini turut disertai oleh ketua-ketua jabatan daripada pelbagai agensi Negeri dan juga Persekutuan, memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha kebajikan umat di negeri ini.

Secara keseluruhannya, program berbasikal ini berperanan sebagai platform yang signifikan dalam memastikan kebajikan rakyat, khususnya golongan asnaf, sentiasa dipantau dan dibela secara berterusan serta menyeluruh.

KEBERSAMAAN YANG TINGGI

Penglibatan pelbagai pihak dalam menjayakan program ini juga mencerminkan semangat kebersamaan yang tinggi serta keprihatinan mendalam terhadap nasib golongan kurang berkemampuan.

Selain itu, kayuhan ini turut membuka ruang interaksi secara langsung antara pihak MAIPs, agensi kerajaan dan komuniti setempat, sekali gus memperkukuh kepercayaan serta mengeratkan hubungan antara semua pihak yang terlibat.

Antara asnaf yang menerima sumbangan ialah Salina Ismail, 60, dari Kampung Titi Besi, Noorma Ahmad, 73, dari kampung yang sama, serta Osman Saad, 75, dari Kampung Belukar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *