
KUCHING, 5 April – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerima sumbangan zakat berjumlah RM30,000 daripada Bank Rakyat bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata melalui kerjasama tersebut, sebanyak RM10,000 diperuntukkan bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat.
Menurut beliau, kerjasama itu dilaksanakan setiap kali bulan Ramadan bagi membantu golongan miskin yang dikenal pasti di kawasan terlibat.
βSetiap bulan Ramadan kita akan bekerjasama dengan Bank Rakyat dan kita memohon zakat untuk mereka yang berada dalam golongan miskin. Kita memilih daripada kawasan kita yang melibatkan tiga DUN,β katanya.
Tambah beliau, inisiatif tersebut telah menjadi amalan serta kerjasama berterusan antara kementerian dan Bank Rakyat dalam membantu golongan memerlukan.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai kes pelajar dari Sarawak yang menuntut di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Perlis dan dilaporkan meninggal dunia ketika menyertai aktiviti berkayak, beliau berkata pihaknya akan mendapatkan maklum balas terkini daripada pihak berkuasa.
Menurut Nancy, laporan rasmi daripada pihak polis diperlukan terlebih dahulu sebelum sebarang maklumat lanjut dapat dikongsikan kepada umum.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Riang Ria Syawal anjuran Bank Rakyat Wilayah Sarawak di Kuching.
MADELINA
