






Oleh: Sholina Osman
7 APRIL 2026
Kitab suci al-Quran merupakan pedoman hidup yang lengkap buat umat manusia.
Setiap ayat dan surah yang dibaca bukan sahaja menenangkan hati, bahkan melapangkan dada, serta memberi panduan dalam menempuh kehidupan.
Di dalamnya terkandung doa-doa, zikir-zikir serta peringatan tentang kebesaran dan kekuasaan Allah S.W.T.
Sesungguhnya al-Quran adalah kitab yang diturunkan oleh Allah S.W.T sebagai petunjuk kepada seluruh umat manusia agar sentiasa berada di jalan yang benar.
MEMPERKUKUH HUBUNGAN MANUSIA
Selain memperkukuhkan hubungan manusia dengan Pencipta, amalan bertadarus berperanan mengeratkan hubungan silaturahim sesama umat Islam.
Melalui tadarus secara berkumpulan dari masa ke semasa, para peserta bukan sahaja dapat menelaah al-Quran, malah berpeluang memperbaiki, serta memperelokkan bacaan masing-masing.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Agihan Zakat anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di Masjid Al-Azim, Titi Tinggi, Padang Besar baru-baru ini.
Berangkat sama, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
MENYANTUNI GOLONGAN ASNAF
Inisiatif ini dilaksanakan bagi menyantuni golongan asnaf secara langsung melalui pemberian bantuan kewangan, yang digerakkan secara berjadual melibatkan masjid-masjid di seluruh negeri ini.
Sebanyak RM105,000 telah disalurkan oleh MAIPs kepada seramai 150 penerima, terdiri daripada 75 anak kariah Titi Tinggi dan 75 anak kariah Bukit Chabang untuk sesi kali ini, dengan setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM700 yang telah disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.
Turut diserahkan ialah cek cura simbolik sumbangan daripada MAIPs kepada Maahad Tahfiz Al-Hikmah, Pauh sebanyak RM129,600 yang diterima oleh Mudirnya, Ustaz Rohim Kamis. – JM
