π—žπ—˜π—¦π—˜π—Ÿπ—”π— π—”π—§π—”π—‘ π—Ÿπ—”π—¨π—§ π—π—”π——π—œ π—žπ—˜π—¨π—§π—”π— π—”π—”π—‘, 𝗠𝗔π—₯π—œπ—§π—œπ—  π— π—˜π—₯π—¦π—œπ—‘π—š π—£π—˜π—₯π—šπ—œπ—”π—§ 𝗣π—₯π—’π—šπ—₯𝗔𝗠 𝗣π—₯π—˜π—©π—˜π—‘π—§π—œπ—©π—˜ 𝗦𝗔π—₯

.
π— π—˜π—₯π—¦π—œπ—‘π—š, 𝟡 𝗔𝗽𝗿𝗢𝗹 – Lonjakan kehadiran pelancong ke perairan Mersing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 mendorong Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing memperhebat pelaksanaan Program Preventive Search and Rescue (SAR) di Jeti Awam Mersing di sini, semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin menegaskan, program berkenaan dilaksanakan secara proaktif bagi memperkukuh pematuhan prosedur keselamatan dalam kalangan pengusaha bot dan pelancong.

β€œFokus utama adalah memastikan pemakaian jaket keselamatan, kawalan had muatan serta kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan sentiasa dipatuhi,” katanya.

Jelas beliau, peningkatan aktiviti seperti island hopping dan selam skuba selepas musim monsun berakhir menuntut tahap kesedaran keselamatan yang lebih tinggi, terutama dalam kalangan pengendali bot dan pengunjung.

Sehubungan itu, program berkenaan memberi penekanan kepada pendekatan pendidikan dan pencegahan melalui demonstrasi penggunaan peralatan keselamatan, taklimat khas serta sesi advokasi oleh anggota Maritim Malaysia di sekitar jeti.

Dalam masa sama, risalah keselamatan turut diedarkan kepada orang awam sebagai panduan sepanjang berada di laut, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti maritim.

Program itu turut mendapat kerjasama agensi berkaitan dan pengusaha pelancongan tempatan bagi memastikan mesej keselamatan disampaikan secara menyeluruh dan berkesan.

β€œPenganjuran inisiatif tersebut juga selari dalam usaha memperkukuh imej Mersing sebagai destinasi pelancongan marin yang selamat dan berdaya saing,” tambah Suhaizan.

Maritim Zon Maritim Mersing menegaskan komitmen berterusan untuk memperluas program berteraskan pendidikan dan pencegahan bagi menjamin keselamatan komuniti maritim serta pelancong di perairan negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *