






Oleh: Sholina Osman
13 APRIL 2026
Foto: YTF
Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bakal menerbitkan sebuah Buku Meja Kopi (Coffee Table Book) yang menampilkan keperibadian, jasa serta peranan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid merangkap Penaung Diraja YTF.
Naskhah eksklusif ini dirancang bagi merakam perjalanan hidup, ilham serta dedikasi baginda dalam memperkasa golongan wanita dan mengangkat standard kecemerlangan merentasi pelbagai lapangan.
Ia bukan sekadar dokumentasi sejarah kepimpinan, bahkan menjadi khazanah berharga yang menyemai inspirasi kepada generasi pewaris.
YTF juga sedang mengorak langkah untuk cuba menjalin kolaborasi strategik bersama Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) bagi menilai potensi dalam sektor teknologi serta keusahawanan.
SELARI DENGAN ASPIRASI
Pendekatan ini selari dengan aspirasi memperkukuh sinergi antara industri dan pihak kerajaan, seterusnya merangsang inovasi serta pengembangan bakat.
Kolaborasi berkenaan turut memfokuskan kepada pemilihan seorang tokoh berwibawa yang memenuhi aspirasi βWomen in Search of Excellenceβ, iaitu gagasan teras YTF. Langkah tersebut diharap dapat menyokong individu berkaliber tinggi yang memiliki visi, daya kepimpinan dan kecekapan untuk mencipta pencapaian membanggakan dalam bidang diceburi.
Keputusan berhubung perkara ini telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah YTF yang dipengerusikan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Langkah strategik berkenaan jika terlaksana diyakini mampu mengukuhkan peranan YTF sebagai wadah yang konsisten memperkasa wanita serta menyumbang secara bermakna kepada kemajuan sosial dan kemakmuran negara. – JM
