

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
15 APRIL 2026
Malaysia kekal fokus memperkukuh kerjasama serantau melalui Asia Zero Emission Community (AZEC) bagi memastikan bekalan tenaga kekal stabil, mencukupi dan berdaya tahan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai negara pengeluar tenaga, termasuk gas asli cecair (LNG), Malaysia akan terus memainkan peranan konstruktif dalam menyokong keselamatan tenaga serantau.
“Di samping itu turut mempelbagaikan sumber tenaga termasuk tenaga boleh baharu, serta memperkukuh sistem tenaga negara selaras dengan keutamaan pembangunan negara,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar telah menyertai AZEC Plus Online Summit on Energy Resilience’ atas jemputan Kerajaan Jepun.
“Penghargaan dirakamkan kepada Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, atas penganjuran sidang tergempar pada waktu yang amat kritikal ini, khususnya perkembangan terkini di Asia Barat yang menjejaskan Selat Hormuz, mengingatkan kita bahawa kestabilan bekalan tenaga amat penting bagi memastikan ekonomi kekal berdaya tahan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” kata beliau lagi. – JM
