




Oleh: Sholina Osman
18 APRIL 2026
Buat pertama kali kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI) yang berasal dari Kedah hadir pada majlis temu mesra sempena Hari Raya Aidil Fitri hari ini .
Majlis Serumpun Kasih Anak Kedah bertemakan “Kasih. Teranyam Dalam Ikatan Persaudaraan” itu dihadiri lebih 100 kakitangan dari pelbagai jabatan dan peringkat saling untuk berkenal mesra.
Pengarah Program, Anizan Md. Noor yang berasal dari Malau, Jitra berkata julung-julung kalinya majlis seumpama ini diadakan agar dapat mengenali dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
JUADAH GAYA KEDAH
“Kami mengambil inisiatif menyumbang wang untuk memasak juadah gaya Kedah seperti laksa dan bihun sup sebagai menu utama.
Selain itu, dibeli lemang, kuih, kek, serta buah-buahan bagi memeriahkan lagi suasana majlis.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada yang hadir menjayakan majlis malah sebagai tanda sokongan,” katanya.
Malah, katanya, kemungkinan majlis sebegini akan menjadi acara tahunan.
Beliau turut mengalu-alukan segala cadangan untuk mempelbagaikan program yang bermanfaat walaupun secara santai sahaja seperti senaman dan riadah.
BERJAYA MENJALIN UKHUWAH
Sementara itu Timbalan Pengarah (Media) Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr Ghazali Din menganggap majlis itu sebagai berjaya menjalin ukhuwah sesama anak Kedah di perantauan khususnya yang berkhidmat di UPSI.
“Walaupun ada yang sudah puluhan tahun berkhidmat di UPSI, namun ada tidak mengenali rapat walaupun asal sama di salah sebuah daerah di Kedah,” katanya.
Beliau menyambut baik usaha beberapa rakan itu dan bersyukur kakitangan kelahiran Kedah dapat berbakti demi kecemerlangan UPSI termasuk dalam bidang akademik, pentadbiran dan seni. – JM
