Zakat bukan sekadar kewajipan, ia manifestasi keimanan – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto: MAIPs
18 APRIL 2026

Sumbangan zakat bukan sekadar satu kewajipan, tetapi merupakan manifestasi keimanan, keprihatinan dan tanggungjawab sosial terhadap saudara seagama.

Setiap ringgit yang disumbangkan telah dan akan terus memberi sinar harapan kepada golongan asnaf, membantu meringankan beban kehidupan mereka serta membuka peluang kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan ini untuk terus mendapatkan pendidikan yang lebih baik.

Sesungguhnya, hasil zakat yang disalurkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istisdat Melayu Perlis (MAIPs) telah banyak dimanfaatkan dalam pelbagai bidang termasuklah kebajikan, pendidikan, pembangunan insan, dan pemerkasaan ekonomi Ummah.

MAIPs terus komited dan mengalu-alukan sumbang saran positif serta membina dan akan cuba menambahbaik lagi pengurusan dari masa kesemasa dalam memastikan setiap amanah yang dipikul dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan berpandukan prinsip integriti, InsyaAllah.

MAJLIS APRESIASI ZAKAT

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Apresiasi Zakat Pendapatan Melalui Potongan Gaji Negeri Perlis Tahun 2025 di Dewan Warisan, Kangar.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menyambut keberangkatan Baginda berdua ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

SEBAGAI TANDA PENGHARGAAN

Majlis ini diadakan saban tahun sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih MAIPs kepada para pembayar zakat yang telah menunaikan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan melalui potongan gaji.

Pada tahun 2025 yang lalu, sebanyak 195 buah agensi yang melibatkan seramai 5,393 penyumbang zakat telah melaksanakan tanggungjawab mereka secara potongan gaji dan diharapkan ianya akan bertambah lagi di tahun-tahun yang akan datang.

Menu makanan di majlis tersebut disajikan oleh usahawan-usahawan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *