

KUCHING, 23 April — Sepasang kekasih berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas didakwa terlibat dalam kegiatan membungkus dan mengedar pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM16.2 juta.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pasangan berusia 31 dan 41 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah inap desa di Kampung Santubong pada 7 April lalu.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk campuran methamphetamine jenis MDMA seberat 97 kilogram.
“Ketamin seberat 1,283 gram, Eramin 5 seberat 180 gram, pil ekstasi seberat 102 gram, serta syabu seberat 28 gram dan pelbagai peralatan digunakan untuk mengedar turut dirampas,” katanya.
Datuk Mohamad Zainal mendedahkan perkara itu dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Kuching hari ini.
Beliau percaya rampasan tersebut berjaya memutuskan rantaian bekalan dadah di selatan Sarawak yang dianggarkan melibatkan hampir 17,000 penagih.
Hasil siasatan mendapati bekalan dadah diperoleh dari Semenanjung Malaysia dan dihantar melalui perkhidmatan kurier.
Sindiket itu dipercayai membayar sekitar RM3,000 sebulan, manakala setiap paket dadah dijual pada harga RM5.
Polis kini sedang giat memburu saki-baki ahli sindiket yang dipercayai mula aktif sejak awal bulan ini.
Kedua-dua suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuching pada Selasa lalu, dan berdepan tujuh pertuduhan di bawah Seksyen 39B, 39A(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Wartawan/Foto: DICKIN
Sumber : beritartmsarawak
