BUKU SENTUHAN EMAS TAN SRI AHMAD NAWAB:NASIR LUNASKAN PERMINTAAN TERAKHIR BAPA TERCINTA

Buku Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab dilancarkan oleh Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir di Kuala Lumpur , baru-baru ini.
Koleksi 600 buah lagu Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab didokumentasikan oleh anaknya atas rasa cinta dan memenuhi impian bapa tersayang – Penulis bersama Nasir Khan mengimbas perjuangan bapanya sebagai negarawan seni negara.

Oleh : Noraini Nordin

24 April 2026

Leka penulis meneliti kandungan naskah bersejarah yang menghimpunkan 600 lagu yang didokumentasikan hasil karya negarawan muzik tanah air Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab.

Koleksi yang amat menyentuhi hati yang pastinya digarap dengan penuh kasih sayang oleh insan yang amat menyayangi serta menyanjungi pengorbanan Ahmad Nawab.

Sebagai insan yang juga membesar dengan lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab undangan ke majlis pelancaran Buku Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab adalah jemputan yang amat penulis hargai.

Apatah lagi berpeluang bertemu dengan Nasir Khan anak allahyarham yang berjaya melunaskan impian bapa tercinta serta insan-insan yang akrab dengan arwahyarham.

Menyoroti kisah hidup Ahmad Nawab, terlalu besar jasa dan sumbangan beliau terhadap dunia muzik negara.

RUJUKAN PENGGIAT MUZIK TANAH AIR

Karya ciptaan beliau sejak era 1950-an sehingga kini masih malar segar di jiwa pendengar, malah terus menjadi rujukan penggiat muzik tanah air.

Demi memastikan karya agung Seniman Negara Ketujuh ini tidak hilang begitu sahaja membuatkan anaknya, Nasir Khan, 63, terpanggil untuk menunaikan permintaan terakhir arwah bapanya untuk menerbitkan buku muzik karya seni ayahanda tercinta berjudul Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab.

Buku ini dilancarkan oleh Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang juga sahabat karib Ahmad Nawab.

Istimewanya buku ini turut disertakan tulisan tangan nama Allahyarham seminggu sebelum kematiannya.

MENGHIMPUNKAN 600 LAGU

Nasir tidak menafikan turut berasa sebak kerana Allahyarham tidak sempat melihat hasil karya yang menghimpunkan 600 lagu ciptaannya itu diterbitkan. Namun beliau tahu anaknya, Nasir sedang berusaha menyiapkannya.

“Tujuan majlis pada hari ini untuk meraikan artis-artis yang pernah terlibat merakamkan lagu dengan arwah bapa saya dan sekaligus melancarkan buku muzik ini.

Memang menjadi impian beliau untuk menghasilkan buku muzik ini dengan niat berkongsi ilmu kepada masyarakat. Secara tidak langsung, mungkin selepas ini beliau akan memiliki ramai ‘anak murid’ baharu kerana buku ilmiah ini mengandungi banyak ilmu yang boleh dimanfaatkan terutamanya bagi mereka yang berminat dalam bidang muzik,” katanya mengenai buku muzik yang diterbitkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi melalui agensi MyCreative Ventures.

Menurut Nasir, penerbitan buku berkenaan bukan sekadar mengabadikan warisan muzik bapanya, malah diharap menjadi bahan rujukan penting kepada generasi muda dalam memahami dan menghargai identiti lagu Melayu.

Buku yang diterbitkan dalam dua jilid ini turut memuatkan nota lagu dengan lirik sekali, kisah di sebalik karya ciptaan Allahyarham serta foto eksklusif sepanjang perjalanan seninya. Buku-buku ini akan diagihkan ke selurih institusi pengajian tinggi seluruh Malaysia yang mempunyai jurusan muzik, Perpustakaan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Arkib Negara dan Muzium Negara bagi simpanan pelajar sebagai bahan rujukan dan penyelidikan.

MENGUBAH LEBIH DUA RIBU LAGU

Sepanjang lebih enam dekad berkarya, Allahyarham telah menggubah lebih 2,000 buah lagu sejak era 1950-an dan menghasilkan lebih 200 album, termasuk artis luar negara seperti Hetty Koes Endang, Endang S.Taurina dan Broery Marantika (Indonesia), Francis Yip (Hong Kong), Claire (Filipina) dan Linda Elizabeth (Singapura).

Atas sumbangan dan kehebatannya dalam dunia muzik, beliau turut dikurniakan Ijazah Doktor Falsafah Kehormat oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2000, sebelum dinobatkan sebagai Seniman Negara Ketujuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006.

Bagi mengiktiraf pencapaiannya, Malaysia Book of Records (MBOR) turut menganugerahkan Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, Penerbitan Muzik Sinematik Terbanyak. Ini adalah rekod kedua dipegang Allahyarham selepas menerima pengiktirafan sebagai Komposer Dengan Lagu Terbanyak Dirakamkan iaitu kira-kira 2,000 lagu pada 2006.

Sepanjang pembabitannya sejak era 1950-an, Allahyarham telah menghasilkan lebih 2000 lagu termasuk lagu untuk 42 filem tempatan, sekali gus melakar sejarah tersendiri dalam industri perfileman dan muzik tanah air.

“Bila buat buku ini baru saya sedar bahawa arwah (Tan Sri Ahmad Nawab) pernah bekerjasama dengan Allhayarham Tan Sri P.Ramlee melalui filem Masam-Masam Manis, Ragam P. Ramlee, Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Harimau Jadian dan Sesudah Subuh. Termasuklah lagu Bosanova nyanyian Saloma dan lagu Ilham Tiba dan Taman Firdausi lagu duet Allahyarhamah Saloma dengan AllahyarhamTan Sri P Ramlee.” Jelas Nasir lagi.

Pengumpulan karya berkenaan merangkumi filem pertama, Bintang Malam (1961) hingga filem terakhir, Mawar Putih (2013). Antara filem lain yang pernah menerima sentuhan emas Allahyarham termasuk, Hapuslah Airmatamu dan Menanti Hari Esok.

Pemergian maestro muzik itu meninggalkan warisan seni yang tidak ternilai. Antara penyanyi hebat yang pernah menjadi ‘anak didik’ atau menerima sentuhan magis ciptaannya termasuk Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim, Allahyarham Datuk Hail Amir, Uji Rashid, Ramlah Ram, Datuk Siti Fairuz dan Allahyarham Datuk Nassier Wahab.

Selain itu, Allahyarham pernah berkhidmat bersama Orkestra RTM selama 17 tahun dan menerima pelbagai pengiktirafan, antaranya Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) untuk karya Bintang Malam pada 1980.

Allahyarham Ahmad Nawab atau nama sebenar Ahmad Khan Nawab Khan meninggal dunia pada 24 November tahun lalu di kediamannya di Taman Melewar, pada jam 3.15 petang, dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Batu Caves.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *