


Wartawan JM
24 APRIL 2026
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkukuh pendekatan sedia ada dengan mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama mana-mana penerbit yang terlibat sebelum sebarang tindakan dikenakan terhadap hasil penerbitan mereka.
Kenyataan media KDN memaklumkan langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan bagi memastikan proses yang lebih telus dan konstruktif.
Ia susulan dari satu sesi libat urus telah diadakan di antara KDN dengan ahli Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) pada 21 April 2026 bagi membincangkan perkara-perkara yang terkait industri penerbitan di Malaysia.
KDN telah diwakili oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan.
MENILAI SEMULA PERINTAH
Dalam masa yang sama, KDN akan meneliti serta menilai semula Perintah
Larangan terhadap hasil penerbitan yang telah diwartakan, dengan mengambil kira pandangan serta cadangan yang dikemukakan oleh pihak berkepentingan.
Ini kerana KDN sentiasa menghormati dan mengalu-alukan kebebasan berkarya serta wacana ilmiah, dan menghargai perkembangan kreativiti penulisan dalam negara.
Namun demikian, sebagai kementerian yang dipertanggungjawabkan dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam, KDN menegaskan bahawa setiap penerbitan perlu mematuhi peruntukan undang-undang serta tidak mengandungi unsur yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.
Sehubungan dengan itu, KDN menyeru semua pihak agar memberikan ruang sewajarnya kepada kementerian untuk mengurus dan menangani perkara ini dengan sebaiknya, demi memastikan keseimbangan antara kebebasan berkarya dan kepentingan keselamatan awam terus terpelihara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, tanggungjawab dan kesejahteraan bersama. – JM
