



25 April 2025
Pasukan bomba dan penyelamat menggunakan khidmat helikopter bagi membantu operasi pemadaman kebakaran hutan paya gambut yang semakin merebak ke kawasan penempatan penduduk di Kampung Baru, Kuala Abang, dekat sini bermula semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Terengganu Mohd Izwan Hashim berkata helikopter jenis Agusta AW139 daripada Pangkalan Udara Wilayah Utara, Bertam, Pulau Pinang telah digerakkan bagi melaksanakan operasi pengeboman air di kawasan kebakaran yang sukar diakses pasukan darat.
Beliau berkata bekalan air bagi operasi pengeboman udara itu diperoleh daripada sumber air berhampiran lokasi kebakaran, sekali gus membolehkan pengisian semula dilakukan dengan cepat dan berterusan bagi meningkatkan keberkesanan pemadaman.
Mohd Izwan berkata kebakaran hutan berkenaan yang berlaku sejak Khamis lepas, dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka tidak terkawal, kini telah merebak meliputi kira-kira kawasan 32 hektar dan masih dalam pemantauan pasukan bomba di lokasi kebakaran.
Foto; Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Sumber: Bernama
