



24 April 2026
Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) terus memperkukuh komitmennya dalam memartabatkan prasarana pendidikan Islam di negeri ini melalui Program Inisiatif Bantuan Sekolah-Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor bagi tahun 2026.
Dalam siri agihan terbaharu hari ini (24 April), Sekolah Agama Peserai dipilih sebagai lokasi simbolik penyerahan sumbangan ini.
Bagi daerah Batu Pahat secara keseluruhannya, sebanyak 190 set kerusi dan meja telah diperuntukkan untuk diagihkan kepada tiga sekolah yang terpilih iaitu Sekolah Agama Peserai, Sekolah Agama Seri Beroleh dan Sekolah Agama Parit Kemang.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada sasaran besar yayasan untuk mengagihkan sebanyak 2,000 set perabot sekolah ke sekolah-sekolah agama yang terpilih di seluruh Johor sepanjang tahun ini.
Hadir bagi menyempurnakan sesi penyerahan ialah Mohd Anizam Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ dan YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor.
YB Mohd Fared menzahirkan penghargaan atas sinergi erat yang terjalin antara pihak yayasan dan kerajaan negeri.
“Sumbangan ini adalah bukti keprihatinan YSIJ yang sentiasa meletakkan kebajikan anak-anak Johor sebagai keutamaan. Kita mahu melihat setiap pelajar di sekolah agama dapat menuntut ilmu dalam suasana yang serba lengkap dan kondusif,β kata beliau.
Turut hadir, Yosree Ikhsan, Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Mohd Radhi Ruslan, Timbalan Pengarah Pendidikan Agama, Bahagian Pendidikan Islam JAINJ.
