




HANOI, 25 APRIL 2026 – Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian
dan Keterjaminan Makanan, telah mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja
rasmi ke Hanoi, Vietnam pada 23 April 2026.
Lawatan ini bertujuan memeterai
Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Vietnam dalam bidang
kerjasama pertanian, sekali gus menjadi langkah strategik dalam memperkukuh
hubungan dua hala sektor pertanian dan sektor agromakanan antara kedua-dua
negara.
Lawatan ini turut membawa implikasi penting kepada usaha memperkukuh
sekuriti makanan negara.
Kerjasama strategik ini dijangka membuka ruang kepada
perkongsian teknologi, pemindahan kepakaran, serta jaminan akses kepada sumber
makanan yang lebih stabil dan berdaya tahan.
Selain itu, ia juga berpotensi
mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran tunggal, seterusnya meningkatkan
keupayaan Malaysia dalam menghadapi sebarang gangguan bekalan global pada
masa hadapan.
Lawatan ini juga merupakan pertemuan sulung YB Menteri bersama Menteri
Pertanian dan Alam Sekitar Vietnam yang baharu iaitu, TYT Trịnh Việt Hùng. Sesi
pertemuan tersebut memberikan penekanan khusus mengenai usaha meningkatkan
akses pasaran bagi produk-produk Malaysia ke Vietnam iaitu produk nilai tambah
berasaskan ayam, telur cecair dipasteur, produk itik, sarang burung walit serta
makanan haiwan peliharaan.
YB Menteri turut memaklumkan kepentingan pembangunan sektor perikanan
mampan dengan memberi tumpuan kepada akuakultur sebagai bidang kerjasama
strategik.
Kerjasama ini dilihat berpotensi meletakkan Malaysia dan Vietnam sebagai
peneraju di rantau ASEAN dalam mempromosikan amalan perikanan yang lestari.
Dalam konteks global, Malaysia menyatakan keprihatinan terhadap cabaran
keterjaminan makanan dunia yang semakin meruncing akibat konflik antarabangsa,
perubahan iklim dan ketidakstabilan ekonomi. Sehubungan itu, Malaysia
berpandangan bahawa kerjasama dengan Vietnam mampu membantu mendepani
cabaran ini melalui pemodenan pertanian serta transformasi digital dalam rantaian
bekalan makanan.
Sebagai sebahagian daripada agenda keterjaminan makanan negara, Malaysia
melihat Vietnam sebagai rakan strategik utama selaku pengeksport terbesar beras ke
Malaysia dan berharap agar kerjasama erat yang sedia terjalin dapat terus menjamin
harga beras yang kompetitif dan stabil bagi keperluan pasaran tempatan.
Hubungan perdagangan pertanian antara Malaysia dan Vietnam mencatatkan nilai
sebanyak RM12.64 bilion bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, meliputi
eksport pelbagai produk makanan, manakala import dari Vietnam termasuk kopi,
koko, teh, rempah serta barangan makanan diproses.
Di akhir pertemuan, YB Menteri telah menyampaikan jemputan rasmi kepada pihak
Vietnam dan delegasi untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro
Pelancongan Malaysia (MAHA) yang akan diadakan pada 28 Ogos hingga 6
September 2026 dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
Delegasi KPKM disertai oleh YBhg. Dato’ Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah
Perikanan (DOF); YBhg. Datuk Dr. Mohd Hisham bin Mohd Harun, Ketua Pengarah
Perkhidmatan Veterinar (DVS); YBrs. Encik Shamsul Akbar bin Sulaiman, Setiausaha
Bahagian Pembangunan Industri Padi; serta pegawai-pegawai kanan kementerian.
Dikeluarkan oleh:
KEMENTERIAN PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN
