
MIRI, 25 April – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan dakwaan kononnya Sarawak memohon kemasukan pekerja dari Bangladesh, adalah tidak benar dan tidak pernah dibincangkan secara rasmi.
Beliau berkata, penyebaran maklumat tersebut di media sosial itu merupakan fitnah, susulan kunjungan wakil Bangladesh ke Sarawak yang hanya bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak.
“Di media sosial ini, pelbagai fitnah disebarkan. Pesuruhjaya Bangladesh ada berjumpa dengan saya, dan mereka datang untuk merapatkan hubungan kerjasama antara negara Bangladesh dengan kita,
“Mereka ada menyatakan bahawa Bangladesh juga boleh menghantar tenaga kerja sekiranya diperlukan. Namun, dakwaan di media sosial kononnya Sarawak telah memohon seribu pekerja Bangladesh untuk bekerja di PETROS adalah tidak benar,
“Perkara tersebut tidak pernah dibincangkan, dan tiada sebarang surat rasmi dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Buruh berhubung perkara itu.” Jelas Premier.
Tegas beliau, sebarang keperluan tenaga kerja akan dibincangkan secara rasmi, namun setakat ini tiada keputusan dibuat.
Dalam masa sama, Premier mengingatkan pihak KMKK, ketua masyarakat dan pemimpin akar umbi agar peka pada perubahan dan cabaran sosial media, terutamanya menjelaskan fakta sebenar kepada rakyat bagi mengelakkan kekeliruan.
Beliau turut menegaskan fokus kerajaan negeri kekal kepada pembangunan Sarawak serta mengutamakan kepada rakyat tempatan dalam sektor pekerjaan.
Beliau berucap demikian pada Majlis Makan Malam KMKK Bahagian Miri, di Miri.
Catherine
Gambar: UKAS
