


PUTRAJAYA, 25 April 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menggagalkan satu cubaan penyeludupan migran warga Indonesia dalam satu operasi khas yang dilaksanakan pada awal pagi 25 April 2026, sekali gus membongkar taktik baharu sindiket yang semakin licik dan tersusun bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Operasi dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat JIM Putrajaya di dua lokasi utama iaitu Terminal Bersepadu Gombak dan Terminal Bersepadu Selatan. Hasil risikan, JIM berjaya mengesan pergerakan tiba sekumpulan warganegara Indonesia ke Lembah Klang dari Kelantan dengan menaiki bas ekspres.
Dalam operasi di lokasi pertama iaitu Terminal Bersepadu Gombak, seramai dua lelaki dan dua wanita warganegara Indonesia telah ditahan. Turut diberkas, satu lelaki warganegara sama yang dipercayai bertindak sebagai βtransporterβ yang menguruskan pergerakan dan logistik migran berkenaan di sekitar Kuala Lumpur.
Seterusnya di lokasi kedua iaitu Terminal Bersepadu Selatan, JIM berjaya menahan tiga lelaki dan tiga wanita warganegara Indonesia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket yang sama. Sebuah kenderaan jenis Mazda CX-5 yang digunakan oleh βtransporterβ untuk mengatur dan mengangkut migran ke lokasi seterusnya turut disita.
Siasatan awal mendapati sindiket ini telah mengubah modus operandi daripada menggunakan laluan laut di perairan Selangor kepada pendekatan yang lebih kompleks iaitu melalui laluan udara dan darat secara berlapis sebagai usaha untuk mengaburi pihak berkuasa. Sindiket ini juga mengelak daripada menggunakan penerbangan terus ke Malaysia, kerana dipercayai kebanyakan migran terlibat telah disenaraihitam daripada memasuki negara ini.
Antara laluan yang dikenal pasti ialah pergerakan migran dari Indonesia ke Singapura sebagai negara transit sebelum diterbangkan ke Hat Yai, Thailand. Laluan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga dikenal pasti digunakan sebagai transit penerbangan sebelum ke Hat Yai. Setelah tiba di Hat Yai, migran akan ditempatkan di rumah transit sebelum kemasukan mereka diatur ke Kelantan melalui laluan haram di kawasan sempadan Thailand – Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan.
Setelah berjaya menyeludup masuk ke kawasan Bukit Bunga, migran diatur untuk bergerak ke ibu negara menggunakan perkhidmatan beberapa syarikat bas ekspres yang berbeza pada hari yang sama menerusi perjalanan waktu malam.
Sindiket yang dipercayai dikendalikan oleh βdalang utamaβ dari Indonesia ini mempunyai rangkaian ejen perantara yang beroperasi secara berasingan di Hat Yai, Thailand. Setiap ejen mempunyai peranan khusus, termasuk menguruskan ketibaan migran, menyediakan rumah transit, serta memalsukan cap kemasukan dalam pasport bagi mengelirukan pihak berkuasa. Rangkaian ini beroperasi secara berlapis (layered network) dengan pembahagian tugas yang khusus untuk memutuskan rantaian maklumat antara migran dan ahli sindiket bagi menyukarkan pengesanan.
Kesemua migran yang ditahan berumur dalam lingkungan 27 hingga 60 tahun dan dipercayai telah membayar antara RM3,500 hingga RM4,000 seorang kepada sindiket bagi mengatur perjalanan masuk ke Malaysia secara tidak sah.
PENGLIBATAN RAKYAT TEMPATAN
JIM turut percaya wujud penglibatan warga tempatan yang bersekongkol dalam membantu sindiket ini, termasuk dalam urusan pembelian tiket bas dan penyelarasan logistik perjalanan. Usaha mengesan individu yang terlibat sedang giat dijalankan berdasarkan maklumat yang diperoleh.
Kesemua individu yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi membantu siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] serta Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155].
Jabatan Imigresen Malaysia sentiasa komited dalam usaha membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang. JIM menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tampil menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan. Masyarakat juga diingatkan supaya tidak melindungi, bersekongkol, atau membantu mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen kerana tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil.
Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan terus kepada Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA di talian 03-8880 1471 atau melalui e-mel.
