


ALOR SETAR | 24 APRIL β Seorang lelaki warga Jepun yang menjadi buruan pihak berkuasa negara asalnya berhubung kes pembunuhan pada tahun 2018, berjaya dikesan berada di Malaysia sebelum diusir pulang oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas tujuh tahun melarikan diri dengan menggunakan identiti palsu sebagai warga Myanmar.
Subjek sebelum ini telah ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan berkaitan dadah dan Imigresen. Hasil siasatan lanjut mendapati subjek disenaraikan dalam Notis Merah INTERPOL dan dikehendaki oleh pihak berkuasa Jepun.
Subjek kemudiannya telah didakwa di Mahkamah Alor Setar dan dijatuhi hukuman penjara iaitu 12 bulan bagi kesalahan penyalahgunaan dadah, 10 bulan bagi milikan dadah, serta lapan bulan bagi kesalahan Imigresen.
Selepas selesai menjalani hukuman penjara, subjek diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk proses pengusiran. Operasi pengusiran dilaksanakan secara bersepadu dan dikawal ketat oleh Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) JIM, bermula dari Depot Imigresen Belantik ke Depot Imigresen KLIA.
Setibanya di KLIA, subjek ditempatkan di lokap sementara sebelum dibawa ke Terminal 1 KLIA bagi proses pelepasan Imigresen. Sepanjang proses tersebut, subjek diiringi oleh Unit PASTAK JIM, PDRM serta TCO sehingga ke pesawat.Subjek kemudiannya diserahkan secara rasmi kepada pihak Polis Jepun yang telah berada dalam pesawat untuk tujuan penghantaran pulang ke negara asal.
Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan bahawa kejayaan operasi ini membuktikan komitmen berterusan negara dalam memastikan Malaysia tidak menjadi tempat persembunyian penjenayah antarabangsa, di samping mencerminkan keberkesanan kerjasama rentas agensi antara JIM, PDRM, INTERPOL serta pihak berkuasa Jepun.
2026 Bahagian Perancangan Strategik & Khidmat Korporat | JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA NEGERI KEDAH
Jom Ikuti Media Sosial Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah
https://linktr.ee/jimkedah
Sebarang pertanyaan sila layari Sistem Pertanyaan Online (SPO) melalui pautan
http://eapp.imi.my/spo
